Menjejaki Muhammad s.a.w

      No Comments on Menjejaki Muhammad s.a.w

OLEH
DATO’ DR MUJAHID YUSOF RAWA
30/05/13

Hajat Tercapai

Perjalanan saya kali ini ke tanah suci Makkah dan Madinah mempunyai makna yang mendalam. Pertama, saya menangguhkan perjalanan ini sejak lima tahun yang lalu kerana selalu bertembung dengan jadual ketat di kawasan saya dan aktiviti kepartian. Kedua, saya memerlukan perjalanan spritual untuk mengukuhkan lagi jatidiri daya dalam keadaan politik partisan yang semakin kuat dan ketiga saya amat merindui keluarga di Makkah bertanyakan khabar mereka setelah lama tidak bertemu. Ketiga alasan ini cukup kuat untuk saya menggegam azam memijak kaki ke atas dua bumi penuh barakah ini. Termakbul hajat yang terpendam selama lima tahun dan pada 25hb Mei kami berlepas menjangaku perjalanan hampir satu hari penerbangan.

Assalamualaikum Ya Rasulallah!

Kereta kami melucur laju dari Lapangan Terbang Jeddah menuju ke Madinah. Perjalanan kami ke Madinah dulu sebelum kami ke Makkah, jadi perjalanan kami agak jauh kerana dari Jeddah ke Madinah mengambil masa 4 atau 5 jam berbanding Makkah yang hanya 40 minit sahaja. Saya tidak tidur sepanjang jalan kerana mutawwif ( tour guide) kami, Ustaz Daim dari Palembang Indonesia dengan tekun menyampaikan taklimat dan tazkirahnya kepada kami hampir sepanjang jalan. Saat semua diam, fikiran saya terus melayang ke Madinah dan sekaligus perasaan rindu kepada junjungan Nabi mengusik jiwa. Saya bayangkan perjalanan Nabi s.a.w di padang pasir berbatu dalam cuaca panas terik bertemu pemimpin Kabilah untuk menyampaikan Islam.

Baginda Junjungan berhadapan dengan suasana ketaksoban kaum yang pekat sedangkan Islam datang untuk meleraikannya supaya membuka jalan kepada nilai manusiawi dan keadilan menguasai hubungan antara manusia. Ia bukan misi yang mudah kerana perkauman sempit adalah norma yang terpakai dalam menentukan prinsip hubungan dan penyelesaian konflik sesama mereka. Pastinya kekuatan Nabi adalah luarbiasa menempuh cabaran melaksanakan perubahan sosial dan politik Arab Jahiliyah dari perkauman sempit kepada universaliti Islam. Saya terus kekaguman terhadap Muhammad s.a.w dalam menghayati panorama padang pasir berbatu bawah pantulan terik matahari.

Pembela Agung

Muhammad s.a.w bukan agung untuk dirinya, keagungannya terletak kepada sifat hambanya yang penuh dengan kerendahan dan berlemah lembut. Berbeza dengan tanggapan berendah diri sebagai tanda kelemahan dan berlemah lembut tanda ketakutan, Rasulallah telah memberikan makna keduanya dengan keutuhan prinsip dan ketegasan sikap dalam misi perubahannya. Pada masa keagungan pemimpin itu terletak kepada segala kemewahan sebagai tanda kekuasaannya, Nabi telah memulakan misinya dengan mencabar karakter kuasa melalui perspektif kehambaan dengan semua maknanya, lantas lahirlah konsep kuasa sebagai wasilah untuk prinsip yang lebih superior. Baginda mencabar fahaman Kuasa dan Pemimpin sebagai matlamat lalu mengasaskan konsep kepimpinan berjiwa hamba. Kebangkitan dan pemberontakan rakyat menuntut pembelaaan dan sebab itu Baginda membawa manifesto sebagai pembela kepada yang tertindas. Perkataan Mustadhafin atau The Oppressed bukan sekadar membayangkan kelompok miskin dan terpinggir tetapi ia mewakili penobatan keadilan sosial yang beribu tahun kemudian diungkapkan oleh golongan marxism sebagai ‘class struggle’

Agama Sebagai Pencetus

Manusia memerlukan premis keyakinan untuk berhadapan dengan realiti kuasa yang tercemar ini dan mengubahnya kepada kuasa yang mulia sifatnya. Suntikan Nabi bermula dengan meletakkan semua penguasa di bawah sumber kuasa yang mutlak dan bahawa kuasa hanya bermakna apabila manusia tunduk kepada Kuasa Allah. Kuasa Allah disalahertikan oleh antagonis agama sebagai kuasa tuhan yang tidak sepatutnya campurtangan dalam kehidupan duniawi manusia walaupun dalam keperluan spiritual,manusia memerlukan tuhan. Mereka tidak memahami bahawa Kuasa Mutlak Allah itu juga menyatakan supaya yang ditindas dibela, keadilan ditegakkan dan kuasa rakyat dijelmakan melalui konsep perundingan. Kuasa Mutlak Allah juga menyatakan pemimpin boleh memimpin dengan keperluan zamannya dan suasanaya selagi tidak memudaratkan prinsip-prinsip besar yang ditetapkan. Muhammad s.a.w meletakkan agama sebagai pencetus perubahan bukan seperti interpretasi golongan antagonis agama tentang peranan agama yang disisihkan dalam jalur sosial-politik. Strategi dari langit berjaya memansuhkan semua amalan Jahiliyah apabila dalam ucapan Khutbah Selamat Tinggalnya, Nabi menggambarkan semua amalan kuasa perkauman sempit di bawah tapak kakinya untuk dilupakan dan diluputkan buat selamanya.

Nabi dan Prinsip Kezamanan

Kehebatan dan Mukjizat Nabi s.a.w juga terletak kepada prinsip kezamanan yang dipasakkan untuk umatnya supaya sentiasa berupaya mendepani zamannya dengan terbaik. Agama Islam memberikan kelayakan pada bidangnya supaya agama tidak mengambil kesempatan menutup pintu kemajuan. Muhammad mengajar prinsip hubungan dengan Allah sebagai prinsip Kekal manakala hubungan dengan manusia bersifat Angkubah mengikut keperluan semasa. Pandangan berbagai sebagai mercutanda ketamadunan menjadi prinsip yang diterima kerana melaluinya manusia diberi ruang berfikir seluas-luasnya untuk kepentingan dunia mereka. Melalui sirah Nabi karakter kezamanan yang diasaskan menjadikan Muhammad s.a.w begitu maju dan kehadapan dari zamannya. Rasulallah melakukan demikian pada saat pemimpin yang berkuasa hanya mementingkan tugu-tugu peringatan yang diukir atas namanya sebagai tanda kehebatan kepimpinannya. Kerana itu Nabi menjadi agung lantaran meninggalkan jejak dan bekas prinsip kezamanan untuk dipakai oleh manusia sepanjang zaman tanpa menggadaikan keperluan agamanya.

Kami Merindui Mu Ya Rasulallah

Semasa kereta kami mendekati sempadan tanah yang dilindungi untuk masuk ke Madinah tertera iklan gergasi berbahasa Arab yang maksudnya ‘Kami merindui menatap wajahmu Ya Rasulallah” Iklan itu seolah-olah memahami isihati saya sepanjang 4jam perjalanan melayani jejak-jejak saya bersama Muhammad s.a.w. Sememangnya terkenangkan semua itu, siapa yang tidak merinduinya? Siapa yang tidak mahu mengucapkan salam kepadanya? Siapa yang tidak mahu mengadu kepadanya semua prinsip yang diajarnya telah dinodai oleh umatnya sendiri? Siapa yang tidak sebak hanya dengan melihat maqamnya dari jendela rumahnya yang sempit itu? Sememangnya Ya Rasulallah, kami amat merindui mu….