BERSIH, HARAPAN BARU DAN MERDEKA

      No Comments on BERSIH, HARAPAN BARU DAN MERDEKA

OLEH
DATO’ DR MUJAHID YUSOF RAWA
28/08/15

Ada apa dalam faktor kesamaan perkataan Bersih, Harapan Baru dan Merdeka? kesemuanya membawa kepada satu nilai iaitu KEBEBASAN. Jika diambil perkataan Bersih secara bahasa contohnya, berlawanan dengan kotor dan bolehlah dikatakan Bersih adalah kebebasan dari kekotoran dan ia adalah sesuatu yang sangat didambakan oleh manusia. Perkataan Harapan pula membawa konotasi anti-kekecewaan dan apabila dikaitkan dengan deskripsi ‘Baru’ ia seolah-olah KEBEBASAN dari rasa kecewa dan senantiasa melihat masadepan yang cerah. Apa pula tentang Merdeka? Perkataan Merdeka lebih ‘direct’ kepada makna KEBEBASAN sebagai kata lawan daripada sifat kongkongan dan menjajah. Ketiga-tiga perkataan adalah sinergi kepada kelahiran entiti baharu dan stimulus kepada impian yang mahu dicapai bersama.

Tetapi faktor kesamaan ini secara operasionalnya jauh lebih realistik dan mencabar sifatnya. BERSIH sudah terbukti sebagai gerakan massa yang mencipta sejarahnya tersendiri apabila tuntutan Pilihanraya Bersih telah mengubah cara SPR mengendalikan Pilihanraya dan membebaskan sikap SPR yang dilihat berat sebelah sebagai pengadil demokrasi berpilihanraya. BERSIH merakamkan 3 perhimpunan besar sebelum ini (2007, 2011,2012) melibatkan seluruh rakyat Malaysia yang inginkan demokrasi dan cara pengendaliannya yang adil dan telus. BERSIH tidak berhenti sekadar isu pilihanraya, kini ia menuntut ketelusan pemerintahan, hak berdemo, mengukuhkan sistem berparlimen serta menyelamatkan ekonomi negara. Usah dikira susah payah yang terpaksa dilalui berhadapan dengan polis anti rusuhan yang satu ketika memalukan dunia reaksi berlebihan dan salah guna kuasa untuk menyuraikan perhimpunan aman. BERSIH adalah perjuangan mempertahankan artikel 10 Perlembagaan Negara serta menguji keberkesanan pihak polis mengawal hak ini bagi melahirkan sebuah masyarakat yang matang dan bertamadun dalam mengendalikan penentangan secara sivil.

Negara tidak terkecuali dari dinamika parti politik yang membentuk sebahagian dari proses demokrasi. Politik kepartian adalah tonggak terbentuknya sebuah kerajaan, walaupun di negara dunia yang lain parti politik boleh sahaja berubah asalkan mereka menang pilihanraya tetpai di Malaysia kenyataan ini nampaknya masih taboo pada amalan politik Malaysia. Parti pembangkang sejak sekian lama cuba untuk membentuk pakatan politik yang kuat dan rekod terbaiknya ialah pada PRU ke 13 dengan jentera Pakatan Rakyat atau PR. PR memperkukohkan kedudukannya sehingga meraih 52% undi popular dan BN haya mampu mengekalkan kemenangan dengan kerusi yang dimenanginya di Timur Malaysia. Namun harapan untuk melihat PR bertambah kukuh berkecai kerana parti komponennya masih berbalahan sehingga 52% undi yang diperolehinya seolah tidak dihormati. PAS, DAP dan PKR sudah tidak dilihat bersatu lagi walaupun jaminan demi jaminan diberikan namun keretakan hanya menanti belah. Peluang dalam krisis PR tercipta dengan lahirnya sebuah HARAPAN BARU yang mahu mengekalkan momentum pembangkang mengambil alih pentadbiran negara dari UBN. Kelahiran Harapan Baru adalah dari kehendak gelombang rakyat terbentuk dari kelompok berbagai yang mahu bebas dari politik lama dan harapan lama. Kini Harapan Baru akan muncul sebagai entiti politik menyatukan kekuatan pembangkang dalam kelahiran PR 2.0 yang dinanti-nantikan.

MERDEKA menjadi kebanggaan setiap anak watan negara ini malah lagu Bahtera Merdeka sudah cukup menaikkan semangat menambahkan kecintaan kita pada negara ini. MERDEKA adalah sebuah perjuangan membina dan mewarisi amanah besar tanpa sebarang syarat dan siap berkorban supaya negara ini kekal merdeka. Setelah perginya penjajah perjuangan kemerdekaan mengambil bentuknya yang lebih rumit iaitu merdeka dari korupsi, merdeka dari pemimpin berkepentingan, merdeka dari kongkongan akta yang menyekat, merdeka dari ideologi sempit agama dan kaum serta merdeka minda dan cita-cita.

BERSIH akan berhimpun diambang kemerdekaan bagi menuntut sesuatu yang jauh lebih besar dari sekadar mengibar jalur gemilang atau melaungkan merdeka! Perhimpunan penuh makna ini adalah dalam semangat kemerdekaan yang padat dengan patriotisma pada negara. Harapan Baru akan mengumumkan pada pelancaran awalnya 31Ogos ini tentang parti baharu bagi meneruskan gelombang rakyat dan cita- cita membentuk kerajaan baharu. MERDEKA akan tetap datang tanpa BERSIH ataupun HARAPAN BARU namun kali ini MERDEKA akan senyum kerana kedatangannya disambut oleh dua pengawal kiri dan kanannya untuk menyuntik semangat pada kita semua bahawa Bahtera Merdeka akan tetap terus melayari lautan bergelora demi memenuhi impian ke Pulau Idaman, destinasi seluruh rakyat Malaysia. Itulahlah kebebasan yang dicari, itulah erti kemerdekaan.

SALAM BERSIH!
SALAM HARAPAN!
SALAM MERDEKA!