UCAPAN BAHAS USUL GANTUNG GELANG PATAH

      No Comments on UCAPAN BAHAS USUL GANTUNG GELANG PATAH

Tuan Speaker,

Saya mulakan dengan kata-kata Gilbert K Chesterton bahawa (dengan izin)

‘ A stiff appology is a second insult, the injured party does not want to be compensated because he has been wronged, he wants to be healed because he has been hurt’

‘ Memohon maaf semata-mata adalah satu penghinaan buat kedua kali, pihak yang terluka tidak mahu ditukar ganti (dengan perkataan maaf) kerana dia disalahkan tetapi dia mahu disembuhkan kerana ia telah disakiti’

Sembuhan adalah perkataan yang lebih menjangkau kepada pihak yang menyakiti dan disakiti. Dalam dewan ini berapa banyak perkataan maaf atau tarik balik diucapkan namun ia tidak menyelesaikan persoalan sikap, perilaku dan tindak-tanduk kita kepada memuliakan dewan ini dan memelihara institusi yang yang menjadi simbol kebanggaan negara.

Merujuk kepada Usul Menteri di JPM terhadap rakan kita semua iaitu Yb Gelang Patah, saya menghulurkan hujah sembuhan jika boleh disebut demikian kepada ‘penyakit’ yang semua kita hadapi di dewan ini sehingga kadangkali masyarakat di luar sana tidak terelak dari mempunyai berbagai tanggapan terhadap institusi ini yang dipimpin dengan kebijaksanaan Tuan Speaker DewAn. Saya akan cuba berhujjah berpandukan kepada dakwaan dalam usul yang secara rumusannya mendakwa bahawa pilihan perkataan Gelang Patah semasa mencelah Sepang dalam usul mengganti pengerusi PAC 19 Okt baru-baru ini membawa kepada tuduhan MENGHINA YDP DEWAN sekaligus MENGHINA MAJLIS MESYUARAT.

Apakah piawaian kita terhadap erti penghinaan? cela? mencerca? atau Insult? Defamation?. Kajian Carnelia Ilie yang menulis artikel atas kajian ‘Insulting as un parliamentary practice in the British and Sweedish Parliament: A rhetorical approach’ menyebut bahawa:

‘as far insult is concerned it is not simply the occurence of offensive language that needs to be taken into account but also the type and intensity of the abuse, as well as the reactions triggered by the perceived or alleged offence’

‘adapun berkenaan maksud Insult, ia bukan sekadar perlakuan sesuatu perkataan yang menyakitkan perlu diambil kira tetapi juga jenis perkataan dan tahap tekanan kata-kata tersebut begitu juga reaksi yang tercetus terhadap kata-kata menyakitkan yang ditanggapi’

Dalam kes rakan kita Gelang Patah yang mencelah ( celah membawa parah) apakah jenis ungkapan dan tahap kata yang menyakitkan itu serta apakah reaksi yang mencetuskan perbahasan itu menjadi sedemikian rupa? 3 Soalan ini menagih jawapan untuk kita menetapkan apa makna menghina?

Ungkapan perkataan Gelang Patah ialah Salahguna Kuasa (merujuk kepada YDP), Sabotaj Penyiasatan 1MDB, Menjadi Diktator, Penafsiran Yang lebih Demokratik, Mempolitikkan Kedudukan YDP….Jikalau perkataan ini dikatakan unparliamentary and abusive, kita perlu melihat apakah suasana perbahasan ketika itu, dan isu yang diperdebatkan.

1. Sedang berbahas tentang Peraturan 77 yang mula dibangkitkan oleh Sepang dalam kaitan kuasa siapa untuk menukar Pengerusi PAC yang menjadi titik tolak perdebatan. Suasana ungkapan GP ialah dalam membahaskan peraturan tersebut dan bukan pendakwaan khusus tanpa objektif terhadap Speaker.(salahguna kuasa)

2. Latarbelakang semua ini ialah tentang satu penyiasatan yang sedang berlangsung iaitu skandal 1MDB yang Parlimen memainkan oeranan penting mengembalikan kepercayaan rakyat kepada keberkesanan Parlimen dalam isu ini. Bukankah ini melibatkan kepentingan awam? pilihan perkataan GP adalah dari latarbelakang besar ini maka sudah tentu tahap tekanan isu ini agak tinggi untuk disampaikan kepada pendengar dalam dan luar dewan. Lagipun ia masih tentang Peraturan 77 yang dipertikaikan. (Sabotaj)

3. Perbahasan diheret melalui respons YDP tentang Peraturan 100 yang menyatakan kuasa Speaker untuk menafsirkan sesuatu yang dipertikaikan sehingga membawa reaksi tertentu kepada GP yang mahukan penafsiran yang lebih demokratik dalam kerangka pertikaian Perkara 100 yang dibangkitkan oleh Tuan Speaker sendiri. (Diktator)

4. Tidak dinafikan bahawa inuendo Tuan Speaker juga mendapat reaksi GP yang menyindir bahawa GP berani kerana Gp bukan duduk dikedudukan yang membuat tindakan sebab itu Gp takut mahu menjadi Ketua Menteri P Pinang. Reaksi GP ialah kenyataan itu seolah menjadikan YDP campurtangan soal politik lalu mempolitikkan kedudukan. Ia disebut dalam konteks bertukar-tukar kata kepada soal yang diluar isu yang dibincangkan dan tidak dinafikan keduanya mahu menjaga air muka masing -masing.

Berpandukan kepada disiplin memahami erti Penghinaan yang terbina dalam kerangka Perbahasan Parlimen, saya tidak melihat usul Menteri wajar disokong malah telah banyak bukti menyatakan bahawa apa yang disangka MengHina sebenarnya adalah sekadar silap pilih perkataan yang lebih kepada perkataan yang agak Mengganggu samada kepada individu ataupun kepada institusi sepertimana terpampang di dada akhbar Australia Tribune (1932) dalam menetapkan kes Graham Thomas Clive vs Stevenson bahawa ‘words annoying but not insulting, Charge against speaker dismissed’, Kata-kata yang menggangu tetapi bukan menghina, dakwaan ke atas pengucap digugurkan.

Tuan speaker

Saya serahkan kepada kebijaksanaan rakan-rakan semua di dewan ini untuk menilai semula dakwaan Menghina dewan oleh GP kerana kita harus memberi keadilan kepada perkataan ‘menghina’ itu sendiri malah keputusan terburu-buru usul ini akan membuka pintu kepada salahguna kuasa hak keistimewaan kita yang dikhuatiri lebih bersifat dendam peribadi atau motif lain yang tidak ada kena mengena dengan sebab utama kita dipilih oleh rakyat di sini untuk menyembuh segala kekurangan dan memberi harapan kepada Malaysia. Lagipun GP hanya mencelah pada bahas asal Sepang dalam bentuk soalan-soalan kepada Sepang malah jawapan Sepang yang mengiyakan soalan-soalan GP jika mengikut standard usul Menteri ini layak didakwa juga kerana menyokong ‘penghinaan’namun kenapa hanya GP? Kalaupun Sepang turut didakwa hujah di atas tetap terpakai untuk menafikan bahawa ia bukan penghinaan terhadap dewan mahupun Speaker. Saya menolak usul ini, sekian terimakasih.

Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa

Naib Presiden AMANAH
Anggota Majlis Presiden Pakatan Harapan