UCAPAN PENGARAH PROGRAM NUNJI 15

      No Comments on UCAPAN PENGARAH PROGRAM NUNJI 15

السلام عليكم و رحمة الله و بركاته

الحمدلله نحمده عز و جل ونستعينه والصلاة والسلام على رسوله المجتبى وعلى اله الاطهر و اصحابه الاخير ومن تبعهم باحسان الى يوم الدين. اما بعد،

Bagi pihak seluruh jawatankuasa NUNJI 15, Saya ingin mengalu-alukan para peserta Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah yang berhimpun di Shah Alam dari seluruh pelusuk Malaysia. Kedatangan para peserta sekelian adalah manifestasi kepada harapan yang tinggi untuk melihat Malaysia maju dengan Islam menjadi panduan dalam berpolitik dan bernegara. Begitu juga saya mengalukan para pembentang kertas kerja dari dalam dan luar negara untuk dikongsi ilmu dan pengalaman mereka. Khusus kepada Sayyid Muhammad Ferjani dari An Nahdah Party Tunisia yang sudi menerima jemputan kami pada kali ini.

Para Peserta Sekelian,

Kami tidak menyangka bahawa sambutan terhadap nadwah begitu memberangsangkan sekali sehingga kami terpaksa menghadkan penyertaan atas alasan logistik. Ini adalah pertama kali Harapan Baru menganjurkan Nadwah sebegini dan untuk itu kami memohon maaf atas sebarang kekurangan yang ada.

Para Peserta Nadwah Sekelian,

Namun apa yg lebih penting ialah Nadwah ini mensasarkan rumusan yang boleh menjadi panduan tindakan-tindakan politik bersesuain dengan Siyasah Syarieyah. Malaysia memerlukan satu ketetapan tentang suasana setempat dalam menentukan tindakan yang tidak bercanggah dengan prinsip syariah. Suasana kemajmukan yang agak tinggi di Malaysia adalah unik dalam menetapkan panduan syariat dalam pemerintahan. Keperwakilan dalam Parlimen Malaysia yang membahaskan isu Islam sudah tentu tidak sama semangatnya dengan ahli parlimen yang majoritinya adalah Muslim. Peluang kepada ketegangan hubungan antara agama di Malaysia agak tinggi sehingga memerlukan keutamaan hubungan ini dipelihara berbanding dengan segala keperluan lain dan kerana itu isu Islam perlu dibawa dengan mengambilkira realiti ini yang diharapkan dapat menyediakan tapak untuk terbentuknya Kaedah Fiqh Malaysia atau Fiqh Malazi mengikut kesesuaian suasana setempat.

Para Peserta Sekelian

Soal Islam dalam kerangka negara mestilah ditetapkan oleh peruntukan perlembagaan dan perundangan yang ada. Segala percanggahan dengan Islam dalam kerangka Syariah perlu ditangani dengan kebijaksanaan Siyasah Syarieyah. Jikalau sesuatu perkara tentang Islam memerlukan untuk dilontarkan dalam ruanglingkup pemerintahan maka hendaklah diluluskan mengikut lunas demokrasi sebagai keabsahan ianya sebahagian dari polisi negara. Percanggahan dalam melihat Islam dalam Syariah vs Islam dalam kerangka negara perlu ditangani secara objektif dan bukan emosi dan semua pihak perlu mencari jalan terbaik melalui proses demokrasi, dialog, pendidikan dan desakan yang diizinkan. Penolakan atau perbahasan dalam kerangka negara isu-isu Islam seharusnya tidak dilihat ‘menentang Syariat Allah’ tetapi ia perlu dilihat dalam bingkai kengkangan peruntukan perundangan negara yang memerlukan proses demokrasi untuk menjayakannya. Inilah yang membezakan pembawaan Islam secara Rahmah dan Islam secara Marah.

Para Peserta Sekelian,

Siayasah Syarieyah juga menetapkan kerangka perlembagaan negara sebagai satu realiti yang membentuk kedaulatan sesebuah negara hari ini. Perlembagaan Persekutuan mendefinasikan premis warganegara sebagai satu Hak yang dilindungi. Muslim vs Non Muslim dalam pandangan premis ini sama sahaja dan oleh kerana itu kerangka warga Muslim vs Kafir Harbiy atau Dzimmy sudah tidak relevan lagi dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan. Diskriminasi agama atau kaum dilarang samasekali dalam Perlembagaan Persekutuan dan kita perlu tegas dalam menetapkan prinsip ini dalam suasana bentuk politik Malaysia yang berteraskan etnik dan ras.

Bagi memenuhi kehendak semua persoalan di atas, tajuk-tajuk yang relevan telah dipilih supaya para peserta diberi peluang membahaskan secara bertanggungjawab dan berobjektif dan diakhirnya satu resolusi akan dibentangkan untuk dijadikan panduan kepada politik baru yang bakal sama-sama kita bina dengan Islam menjadi panduan kukoh untuk seluruh rakyat Malaysia.

Saya mengucapkan terimakasih tidak terhingga kepada jawatankuasa yang bertungkus lumus khususnya tim setiausaha dan tim media yang semenjak NUNJI beroperasi mereka tidak berhenti untuk memastikan kejayaan NUNJI menjadi kayu pengukur untuk siri-siri NUNJI yang seterusnya, Insyaallah.

sekian , Selamat bernadwah…

وما ارسلناك الا رحمة للعالمين.

YB DATO’ DR MUJAHID YUSOF RAWA
PENGARAH NUNJI 15′
15/8/2015=30Syawal

وما ارسلناك الا رحمة للعالمين.