ISLAM DALAM KEMAJMUKAN

      No Comments on ISLAM DALAM KEMAJMUKAN

OLEH
DATO’ DR MUJAHID YUSOF RAWA

KONSEP Kemajmukan atau Kepelbagaian kadang-kadang disebut Plural adalah dirujuk kepada suasana masyarakat yang terdiri dari berbagai entiti yang masing-masing unik dengan karakter budayanya. Ini termasuk kepelbagain dalam keturunan, bangsa, agama dan puak. Berasaskan kepada teori kepelbagaian dalam konsep sosial ini, kemajmukan juga dikaitkan dalam berfikir dan latarbelakang pemikiran yang berbeza-beza. Islam mengiktirafi hakikat ini dengan menegaskannya dalam konsep Adab Fiqh Al Ikhtilaf (Adab Perbezaan Pendapat) yang didasari oleh kepelbagaian sebagai satu fitrah kejadian. Surah Al Hujurat ayat 13 menjelaskan konstruk sosial yang berbagai ini manakala surah Yunus 99 dan Hud 118 menjelaskan kepelbagaian kepercayaan yang merupakan kehendak Allah. Manakala Ar Rum menjelaskan kepelbagaian dari sudut ciptaan langit-bumi, siang-malam dan berbagai bahasa. PRAKTIS Nabi s.a.w memperlihatkan fitrah ini dari sudut interaksi yang meraikan kepelbagaian pandangan dan pen
To: [email protected]

Islam Dalam Kemajmukan

KONSEP

Kemajmukan atau Kepelbagaian kadang-kadang disebut Plural adalah dirujuk kepada suasana masyarakat yang terdiri dari berbagai entiti yang masing-masing unik dengan karakter budayanya. Ini termasuk kepelbagain dalam keturunan, bangsa, agama dan puak. Berasaskan kepada teori kepelbagaian dalam konsep sosial ini, kemajmukan juga dikaitkan dalam berfikir dan latarbelakang pemikiran yang berbeza-beza. Islam mengiktirafi hakikat ini dengan menegaskannya dalam konsep Adab Fiqh Al Ikhtilaf (Adab Perbezaan Pendapat) yang didasari oleh kepelbagaian sebagai satu fitrah kejadian. Surah Al Hujurat ayat 13 menjelaskan konstruk sosial yang berbagai ini manakala surah Yunus 99 dan Hud 118 menjelaskan kepelbagaian kepercayaan yang merupakan kehendak Allah. Manakala Ar Rum menjelaskan kepelbagaian dari sudut ciptaan langit-bumi, siang-malam dan berbagai bahasa.

PRAKTIS

Nabi s.a.w memperlihatkan fitrah ini dari sudut interaksi yang meraikan kepelbagaian pandangan dan pendapat malah masayarakat Madinah tertegak atas dasar kepelbagaian puak, agama dan latarbelakang ekonomi. Semuanya dilanggani dengan wujudnya Perjanjian Madinah atau Sahifah Madinah yang memberi kepelbagaian haknya tetapi meletakkan kepentingan bersama sebagai tanggungjawab yang dipikul secara kolektif iaitu mempertahankan MadinAh dari serangan musuh.
Tamadun Islam terbina atas asas-asas kemajmukan dan berbagai etnik dan entiti tidak terhalang dari menyumbang kepada khazanah Islam yang terbentang dari Timur hingga ke Barat dengan masing-masing mengekalkan keunikan tersendiri.
KEMAJMUKAN TERSASAR

Tidak dinafikan sepanjang sejarah Islam, konsep kemajmukan disalahtafsirkan melalui pemaksaan ide tertentu ke atas umat. Contohnya ialah pemaksaan ide Quran adalah Makhluk, Pemaksaan ide Muktazilah dan beberapa kes Pemaksaan Syiah ke atas penganut Sunni. Namun kejadian tersebut tidak mewakili maksud penghayatan sebenar kepelbagaian. Berlaku pemaksaan adalah kerana faktor politik demi untuk mengekalkan kuasa sang pemerintah dan kepentingan pihak tertentu. Ia tiada kaitan dengan faktor agama Islam walaupun nama agama digunakan. Walaupun demikian kemunculan berbagai aliran dan fahaman dalam sejarah Islam membuktikan kemajmukan berlaku dan salah satu cara mengendalikannya ialah dengan menggalakkan perkembangan ilmu melalui hujah dan perdebatan ilmiah.

LAHIRNYA DISIPLIN ETIKA PERSELISIHAN

Dalam konteks menampung takungan ilmu yang rencam, satu disiplin ilmu tentang perbezaan pandangan muncul. Ia berasaskan kepada larangan mencaci peribadi pada mereka yang berbeza pandangan, larangan membenci sesama sendiri dan mengambil kira pandangan berasakan fakta siapa yang lebih kuat dan akhirnya menerima pakai kaedah boleh berbeza pandangan pada perkara cabangan (sekunder) tetapi tidak lari dari perkara prinsip utama (primari) dalam Aqidah ketauhidan. Budaya dialog dan debat ilmiah menjadi jambatan kepada kerencaman ide dan pandangan berasaskan ilmu kalam dalam memahami maksud tekstual dan kontekstual dari intipati Al Quran dan Sunnah Rasulallah s.a.w.
DISIPLIN MAQASID DALAM KEMAJMUKAN

Disiplin ilmu Maqasid atau Objektif Utama peranan Syariat mula diperkenalkan dalam mengimbangi kepelbagaian pandangan dalam memahami teks Al Quran berkenaan perintahanNya. Imam Al Ghazali mula memperkenalkan istilah pemeliharaan 5 prinsip pokok yang merupakan objektif terbesar mengapa Syariat diturunkan oleh Allah. Hujjatul Islam ini menyenaraikan;
1. Memelihara Agama
2. Memelihara Akal
3. Memelihara Kehormatan dan Maruah
4. Memelihara Jiwa dan Nyawa dan
5. Memelihara Harta
Dengan berkembangnya ilmu Maqasid, antara lainnya telah melahirkan penghayatan kepada ruh asal agama yang diamalkan oleh Rasulallah s.a.w dan sahabatnya dalam mengembalikan adab dan etika memahami kepelbagaian dan pluraliti. Kesemua 5 perkara utama yang perlu dilindungi tidak hanya untuk agama Islam tetapi juga terhadap semua agama, di mana dengan ini kemjmukan itu terpelihara.

Kepelbagaian turut memandu para pembuat dasar untuk memahami perkara asas seperti memahami realiti. mencapai maksud sesuatu maslahat lebih utama dan membuat imbangan antara pilihan-pilihan keputusan yang ada berasaskan kepentingan awam atau Maslahah Awam. Dengan kata lain kepelbagaian dan kemajmukan bukan sahaja tentang etika dan adab tetapi faktor kepelbagaian menjadi asas yang terbentuk di dalamnya rumusan-rumusan dasar dan sikap yang diambil oleh kutub penguasa untuk memerintah dan kutub ulamak untuk memberi fatwa. Sebenarnya kepelbagaian pandangan dari rumusan para ulamak dan rumusan para pemerintah bukanlah bercanggah antara satu sama lain tetapi ia tercetus dari peranan masing-masing yang mempunyai kesan tindakannya terhadap maslahat orang ramai. Para ulamak mengeluarkan sikap agama secara prinsip manakala para pemerintah mengeluarkan dasar secara melihat kepentingan awam berpandukan kepada Maqasid Syariat dan Maslahah Pemerintahan. Pada tahap ini Islam bukan sahaja mengiktirafi kepelbagaian tetapi merangkulnya sebagai asas untuk membuat keputusan dalam dasar-dasar pemerintahan.

REALITI KEMAJMUKAN HARI INI
Perubahan dunia hari ini perlu diambil kira sebagai asas memahami realiti kemajmukan. Kemajmukan terbentuk hari ini dalam realitinya yang lebih sopisikated dan lebih maju ke hadapan. Kepelbagaian pandangan dan kepelbagaian agama dan fahaman diinstitusikan dalam acuan besar Demokrasi, Hak Asasi Manusia dan Kebebasan Membuat Keputusan. Negara-negara dunia dituntut untuk menerima komitmen bertulis terhadap kebebasan dan melarang sebarang bentuk pemaksaan pandangan mahupun kepercayaan dan agama ke atas mana-mana manusia.
Kemajmukan hari ini bukan lagi milik eksklusif umat tertentu tetapi ia menjadi sebab kepada sesebuah negara diterima sebagai sebuah entiti dalam warga dunia yang disatukan melalui perjanjian-perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Menerima kepelbagaian adalah satu tanggungjawab kenegeraan dan ia tersenarai sebagai satu hak asasi yang perlu ditunaikan. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperkenalkan Deklarasi Hak Asasi Manusia tahun 1942, kemudiannya ia berkembang kepada Perjanjian Antarabangsa Hak Asasi Manusia, Perjanjian Antarabangsa Hak Budaya, Sivil dan Politik , Perjanjian Antarabangsa Penghapusan Kaum dan Diskriminasi. Semua ini adalah untuk memastikan kepelbagaian kekal wujud sebagai elemen penting membentuk entiti sebuah negara modern.
Demokrasi bukan sahaja sebagai wasilah tetapi menjadi model utama kaedah berpolitik dalam memberi hak bersuara dan membentuk perjalanan sesebuah negara. Kepelbagaian diseimbangkan dalam kelahiran masyarakat sivil atau madani yang berfungsi untuk semak-imbang peranan kuasa. Pengiktirafan hak beragama dan budaya yang berbagai diinstitusikan dalam perlembagaan negara-negara dengan adanya Hak Golongan Minoriti.
PERMASALAHAN KEMAJMUKAN
Walaupun keperluan sebuah masyarakat yang berbagai telah diinstitusikan oleh sebahagian besar negara dunia, namun permaslahannya terletak kepada perkiraan golongan pemerintah dan komitmen mereka untuk menjadikannya sebagai satu realiti yang berjaya. Isu perkauman dan agama masih lagi menjadi tarikan golongan pemerintah untuk berkuasa. Keganasan Sekta (sectarian violence) masih menghantui dunia Timur Tengah manakala penghapusan etnik secara sistematik masih diamalkan di Israel terhadap penduduk Palestine.

Kediktatoran mencekik kebebasan bersuara lantas mematikan kepelbagaian pandangan menyebabkan keadaan huru-hara. Kejatuhan regim diktator dalam kerapuhan negara dari serangan elemen ekstrim di Iraq dan Syria menjerumuskan masyarakat ke era zaman gelap. Mangsa utama dalam semua krisis ini ialah nilai kepelbagaian yang ditekan dan dihimpit melalui ketaksoban kepuakan. Matinya kepelbagaian menandakan bermulanya era ketaksoban dan ekstrimisma lantas melahirkan pemimpin kuku besi yang mengamalkan kebencian antara manusia untuk kekal berkuasa.
MODEL KEMAJMUKAN HARI INI
Secara konseptualnya, kemajmukan bukan bertentangan kepada kesatuan bahkan kesatuan terbentuk dari kepelbagaian dalam model Kesepaduan. Sebab itu kesepaduan adalah terdiri dari elemen yang berbagai yang dipadukan bagi mengelak perpecahan dan disintegrasi. Kemajmukan hakikatnya pemangkin kepada lahirnya kesepaduan dan adalah silap untuk mengandaikan bahawa perpaduan dalam masyarakat perlu mengorbankan kepelbagaian. Keharmonian dalam sesebuah lagu adalah kerana berbagai irama yang membentuknya maka perpaduan mestilah mencari keharmonian itu. Konsep ini diungkapkan dalam bahasa politik sebagai ‘unity in diversity’ atau kesatuan dalam kepelbagaian.
Secara teorinya kemajmukan hari ini terbina atas keperluan untuk menghormati perbezaan atas prinsip hak yang perlu dibela. Walaupun demikian, kawalan bagi mengelakkan berlakunya perbezaan yang tidak membina (dysfunctional) mestilah perbezaan itu berdiri atas asas hormat menghormati dan menjauhi kebencian dan meletakkan kepentingan lebih besar sebagai faktor menyatukan perbezaan.
MENGURUSKAN KEMAJMUKAN
Oleh kerana kemajmukan adalah satu realiti dan kepelbagaian tidak terelak maka lahirlah disiplin dalam disiplin organisasi hari ini apa yang dinamakan sebagai pengurusan konflik. Pengurusan konflik diperlukan kerana mahu menguruskan kepelbagaian dan sebab itu perbezaan atau perkara yang bertentangan antara satu sama lain tidak lagi dikira sebagai satu permasalahan bahkan ianya satu keperluan dengan syarat perbezaan ini diurus dengan baik dan berstruktur.
Begitu juga dalam konteks sebuah negara, kebanyakan tugas yang dimainkan oleh mana-mana pemerintah ialah memastikan keharmonian dalam kepelbagaian khususnya apabila sesuatu konflik berlaku samada konflik antara agama, kaum ataupun pertembungan nilai-nilai budaya.
PRINSIP ISLAM
Gerakan Islam yang beredar dalam dunia kontemporari berhadapan dengan realiti kemajmukan untuk membawa Risalahnya. Kelahiran Risalah Islam tercetus di celah kepelbagaian dan simpang-siur adat dan budaya sesuatu kaum. Islam melalui kenabian yang diutuskan tidak pernah muncul dalam suasana kesepakatan malah ia muncul dalam suasana kemajmukan baik dari segi adat, berbagai kabillah mahupun agama. Rasulallah s.a.w terpaksa berhadapan dengan realiti ini dan kerana itu Allah s.w.t menyediakn platfom yang kuat untuk Nabinya supaya mampu menampong suasana sedemikian rupa. Rumusan yang terbina atas realiti ini terbentuk atas beberapa prinsip;

1. Tiada Paksaan (لا اكراه), Prinsip ini kekal secara konsisten sepanjang 23 tahun kenabian.
2. Permudahkan dan tidak membebankan (يسروا ولا تعسروا), bagi membuka ruang kepelbagaian kemampuan manusia.
3. Mementingkan Dialog dan perdebatan berobjektif (و جادلهم يالتي هي احسن), bagi meraikan perbezaan pandangan dan pendapat.
4. Menzahirkan kesediaan untuk hidup bersama secara aman melalui kaedah ( لكم دينكم ولي الدين)
5. Menginstitusikan kepelbagaian supaya ia menjadi konstruktif dan tidak destruktif melalui piagam Madinah.
Berpandukan kepada prinsip awal terhadap kepelbagaian, Gerakan Islam harus menterjemahkan aktivitinya secara inklusif dan progressif.

MODEL BARU
Medan politik adalah satu wahana yang berkesan untuk dikuasai oleh Gerakan Islam. Parti Politik Islam mestilah mempunyai struktur organisasi yang menterjemahkan perinsip di atas melalui,
1. Keahlian terbuka untuk semua kaum dan agama,
2. Kaedah pemilihan kepimpinan mestilah secara demokratik
4. Ideologi anti perkauman dan anti fahaman agama yang ekstrim
5. Bersedia bekerjasama dengan semua pihak asalkan mengikut perundangan negara dan tdk merugikan prinsip.

MENASIONALKAN PERJUANGAN ISLAM

Sifat universal dan umatik gerakan Islam modern pada era 70-90 menjadikan ia sebagai gerakan merentas sempadan geografi dan merangkul semua permasalahan dan penderitaan umat Islam sedunia. Walaupun secara retoriknya ia adalah satu keperluan kerana memantulkan Pan Islamisme namun adakalanya tumpuan itu tersasar dari menangani isu lokal di mana ianya beroperasi. Ada isu-isu ideologi yang perlu transformasi iaitu;

1. Permasalahan Universalism atau Alamiyah Gerakan Islam yang bersumberkan daripada teks Al Quran dan Hadis yang berbicara tentang globalism ideologi Islam. Globalism ini memerlukan terjemahan kepada suasana tempatan yang mana perkiraannya lebih teknikal dan perlu kepada strategi lebih khusus dan multidimensi. Kegagalan memahami realiti ini memberikan gambaran bahawa Gerakan Islam lebih banyak beretorik daripada menggarap isu di medan.
2. Permasalahan Eksklusifiti berpunca dari fahaman teks terhadap istilah Kuffar dan Kufrun, Thagut dan Musyrikin yang telah melahirkan sikap bermusuhan dan negatif terhadap orang bukan Islam. Malah seringkali bukan Islam tidak termasuk dalam keperluan strategik untuk meraih sokongan. Mereka yang bukan Islam hanya dalam perkiraan dakwah semata-mata bukan dalam perkiraan pendektan inklusiviti dalam advokasi dasar-dasar. Inklusiviti menuntut Gerakan Islam keluar dari daerah Eksklusiviti kepada Inklusiviti dasar-dasar untuk semua. Inklusiviti juga menuntut Gerakan Islam melibatkan semua pihak dalam rundingan dan dialog walaupun dari kelompok yang mempunyai pandangan yang berbeza.
3. Gerakan Islam masih terikat dengan referensi kenegeraan secara fiqh klasik yang membicarakan kerakyatan dalam kerangka sistem Khilafah. Menurut Fiqh Klasik Kewarganegaraan, Rakyat dibahagikan kepada logik pembahagian wilayah politik kepada Darul Islam dan Darul Harbi lantas mereka yang bukan Islam dianggap Harbi selagi tidak menandatangani perjanjian untuk mendapat status dilindungi (Dzimmi). Sebab itu adanya pengkategorian kerakyatan kepada Muslim, Dzimmi dan Harbi. Hari ini pengkategorian ini sudah tidak relevan memandangkan logik pembahagian antara negara ialah melalui negara bangsa yang ada ikatan antara satu sama lain melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Fiqh Kewarganegaraan atau Fiqh Muwathonah perlu dijadikan referensi kenegaraan di mana Maqasid utama seperti Keadilan, Hak Asasi Manusia dan Prinsip Perundangan menjadi perkiraan utama.
4. Hubungan Muslim dan Non Muslim perlulah tertegak atas premis Kedamaian dan Permusuhan sebagai pengecualian. Asas ini berpandukan kepada wujudnya kefahaman awal Fiqh non muslim bahawa asas hubungan adalah Permusuhan dan Kedamaian sebagai pengecualian. Kepelbagaian tidak dapat diurus dengan baik jika berlaku prejudis, persepsi buruk dan kebencian antara agama.
5. Dasar-dasar anti perkauman dan anti doktrin ekstrimisma dan fahaman agama sempit perlu diterjemahkan dalam advokasi dasar agara Gerakan Islam dilihat lebih fokus kepada pembentukan dasar-dasar negara yang seiring dengan dengan perjanjan yang diusahakan oleh Bangsa Bangsa Bersatu tentang HAM.
Semua transformasi ini membentuk usaha Menasionalkan Gerakan Islam bagi menangani kepelbagaian sebagai model yang perlu diterokai.

CABARAN KEMAJMUKAN
Kemajmukan dilihat sebagai cabaran untuk Gerakan Islam membumikan dasar-dasar perjuangannya. Antara lainnya ialah Islamophobia, Kejumudan, Kurang Ilmu Fiqh Khilaf dan tekanan dari regim pemerintah. Namun kita tiada pilihan melainkan meneima kepelbagaian atau kemajmukan sebagai prinsip asas menjamin kerukunan hidup secara aman.