MISI MYNMAR

      No Comments on MISI MYNMAR

Perjalanan ke Mynmar adalah perjalanan pertama saya. Nama Burma yang pernah saya kenali sejak di bangku sekolah kini menjadi Mynmar, ibu negaranya yang pernah saya kenali sebagai Rangoon sekarang ialah Yangoon. Mynmar telah banyak berubah, sejak junta tentera berundur demokrasi umpama bunga yang sedang berkembang, ramai peminatnya tapi belum berkembang sepenuhnya. Terlalu tinggi harapan dunia apabila parti Ang San Syu Ki (ASSK) menang dengan ideal membawa demokrasi yang berfungsi.

Harapan kepada Mynmar terlalu tinggi kerana penindasan regim tentera terhadap gerakan demokrasi akhirnya terpaksa berundur dengan kuasa rakyat. Pada tahun 2015 perjuangan ASSK mula memetik hasil apabila parti pimpinan wanita demokrasi ini, NLD National League Democratic Party menang besar dengan 135/224 kerusi di peringkat Upper House atau Amyotha Hluttaw dan 255/440 kerusi diperingkat lower house atau Pyithu Hluttaw. Walaupun demikian, pihak tentera tidak mudah mengalah kesemuanya kerana peruntukan kerusi secara perlantikan diperundangkan untuk mereka dan menikmati masing-masing 56 kerusi dan 110 kerusi. Dengan kata lain ASSK terpaksa hadapi sekali lagi pihak tentera tetapi dalam bentuk yang berbeza.

Mynmar dan junta tentera sukar dipisahkan, sejarahnya panjang, kemenangan demokrasi bukan bererti kemenangan mutlak, pihak tentera masih lagi ‘berkuasa’ dalam menentukan kemenangan undi di parlimen. ASSK masih berjalan secara berhati-hati tanpa menimbulkan ketegangan walaupun partinya mendapat mandat besar rakyat. Kembali kepada kuasa tentera adalah perkara terakhir yang cuba dielakkan, demikianlah erti kemenangan demokrasi di Mynmar.

Pertemuan delegasi kami dengan Penasihat NLDP mewajarkan erti demokrasi ini apabila kami difahamkan, sekarang usaha ‘metamadunkan’ pihak tentera mengikut piawaian proses demokrasi dan hak asasi manusia sedang giat dijalankan. Dia mengakui ianya agak sukar tetapi terpaksa berhadapan realiti demokrasi di Mynmar dan hubungannya dengan tentera.

Kami diwakili oleh ahli parlimen merentasi benua dari Afrika, Eropah, Amerika Selatan dan Amerika Utara serta Asean. Asean diwakili oleh Thailand dan Malaysia. Platform kami ialah inisiatif melihat kebebasan beragama diseluruh dunia berpandukan pada piawaian Hak Asasi Antarabangsa. Kami tidak mewakili negara masing-masing tetapi pendirian bebas memberi jaminan hak beragama secara global. Adakalanya minoriti dalam negara Islam yang disekat kebebasan beragamanya ataupun di negara majoriti Kristian yang menindas agama Islam atau agama lain dan begitulah seterusnya. Kami menilai merentasi kaum dan agama berasaskan kepada prinsip hak asasi manusia. Secara khusus insiden di Mynmar melibatkan isu Rohingya menjadi tumpuan kami dalam misi jejak-kumpul maklumat dan bertemu secara diplomatik pihak berkuasa. Kami tiada berkesempatan ke Wilayah Konflik Arikhine atas alasan keselamatan.

Jadual kami agak ketat kerana ada berbagai kelompok yang kami perlu temui mengharapkan hasil maklumat yang bebas dari berbagai perspektif. Hari pertama kami ialah bersama masyarakat sivil yang prihatin terhadap isu HAM (Hak Asasi Manusia). Kami berhadapan dengan perspektif menarik khusunya sikap terhadap minoriti Rohingyas dan minoriti Chin. Ironinya kedua kelompok etnik ini diwakili oleh majoriti beragama Islam dan Kristian yang tertindas dan ironinya juga kedua wilayah ini adalah antara yang kurang pembangunan berbanding wilayah lain. Kami turut mendengar aduan diskriminasi terancang melalui undang-undang yang menyokong amalan tersebut. Bagi isu Rohingyas timbul berbagai naratif yang berbeza antara satu sama lain berkisar pada titik perdebatan antara adakah ianya isu etnik atau agama ataukah politik?

Kami membuat penilaian sesama kami pada setiap sesi pertemuan untuk bekalan pertemuan selanjutnya. Kami bertolak ke wilayah pentadbiran Kesatuan Mynmar Na Pi Thaw di mana semua kementerian dan parlimen berada. Perjalanan udara melalui jarak tempuh 50 minit bersamaan 4 jam jalan darat.

Konsep wilayah Na Pi Thaw atau NPT sama seperti Putrajaya atau Canberra, bezanya ialah ia baru 2 atau 3 tahun digunakan kerana itu Lapangan Terbangnya lengang dan jalannya sunyi walaupun jalan utama ke Parlimen adalah 8 lorong. Kompleks Parlimen Kesatuan Mynmar melambangkan kebesarannya dan gagasannya menjadi negara yang mahu berdiri sama gagah dengan negara dunia lain. Kami memasukinya dengan penuh kekaguman kerana keluasan dan struktur binaannya yang cantik. Melihat dewan persidangan dengan 440 kerusi turut menarik perhatian kami. Semasa kami ditempatkan di bahagian pemerhati, Speaker Dewan memaklumkan kehadiran kami sambil wajah kami terpampang di skrin besar dewan.

Kami menjadi tuan rumah makan malam di Park Royal bersama 30 ahli Parlimen Mynmar. Ia lebih kepada majlis suai kenal dan bertukar pandangan dan pengalaman. Parlimen Mynmar agak ketat peraturannya setelah satu arahan baru dikeluarkan bahawa mana-mana Ahli Parlimen yang dijemput untuk bertemu delegasi asing mesti mendapat persetujuan Speaker sedangkan kami bukan badan resmi kerajaan, hanya inisiatif ahli parlimen dunia. Walaupun demikian 30 Ahli Parlimen sudah dikira baik.

Saya berucap malam itu selain rakan saya yang lain dengan menegaskan bahawa dunia hari ini akan memberi kesan antara satu sama lain jika berlaku penindasan ke atas kelompok minoriti tertentu yang menganut agama tertentu. Masalah itu samaada dalam bentuk pelarian mahupun sentimen. Selain itu penindasan juga akan melahirkan penentangan malah potensi memilih jakan keganasan bagi pihak tertindas boleh berlaku. Kerangka terbaik mengatasi masalah tersebut ialah menghormati HAM mengikut prinsip perundangan negara. Kami bertukar kad untuk melebarkan lagi rangkaian ahli parlimen yang berkongsi aspirasi yang sama.

Hari kedua di NPTadalah peluang untuk bertemu kementerian yang relevan dalam misi kami. Kami dibahagikan kepada dua kelompok untuk bertemu dengan dua kementerian masing masing Kementerian Hal Ehwal Etnik dan Kementerian Urusan Agama dan Budaya. Saya bersama MP David Anderson dari Kanada dan MP Syerril Dundledee dari Afrika Selatan ditugaskan bertemu dengan Kementerian Urusan Agama dan Budaya. Kami banyak bertanya tentang situasi kebebasan beragama dengan referensi utama kepada Rohingyas Muslim dan etnik Chin yang beragama Kristian. Ada beberapa isu sensitif tentang pengistilahan malah perkataan etnik Rohingyas agak kontraversi dalam pertemuan resmi kami, mereka mahu menggunakan perkataan Benggalis dan bukan Rohingyas. Sebagai misi diplomatik kami berhati-hati dalam penggunaan istilah. Dalam pertemuan itu, saya menegaskan perlunya konsep kewarganegaraan berpaksikan hak kebebasan beragama dan mengamalkan kepercayaan masing-masing. Saya juga berkongsi pengalaman pernah menggubal undang-undang keharmonian nasional dan rekonsiliasi sebagai satu undang-undang yang memelihara kebebasan dan hak.

Kembali ke Yangon, kami bertemu dengan aktivis hak asasi manusia peringkat Asean dan berkongsi pengalaman bagaimana satu rangkaian ahli parlimen yang efektif boleh digerakkan.

Perjalanan ke Mynmar di celah konflik Rohingya yang mengejutkan dunia serta demokrasi yang baru berkembang adalah pengalaman yang amat berguna
Pastinya saya akan kembali ke Mynmar lagi untuk tindakan susulan yang diperlukan secara diplomatik dan atas premis hak asasi manusia.

Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa

Naib Presiden AMANAH
Anggota Majlis Presiden Pakatan Harapan
23 March 2017