Agama jadi mainan politik, pecah belah disebabkan RUU355

APABILA PAS cuba melaksanakan hudud, umat Islam di Malaysia dilarang membantah atas alasan ia undang-undang Allah.

Kini, parti Islam itu cuba melaksanakan hukuman lebih berat bagi Mahkamah Syariah menerusi rang undang-undang persendirian Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Bidang Kuasa Jenayah) Akta 1965 atau RUU355 dan umat Islam diminta sekali lagi memberi sokongan kerana ia juga sebahagian undang-undang Allah.

Sementara itu, bagi bukan Islam pula diminta tidak mencampuri hal tidak berkaitan dengan mereka.

“Mahkamah Syariah amat diyakini umat Islam. Menghormati undang-undang syariah juga satu cara memperoleh rahmat Allah,” kata Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa.

Seperti kegigihan PAS melaksanakan hudud, RUU355 dibawa Hadi mengundang perdebatan umum yang membangkitkan sensitiviti dan emosi di kalangan penyokong, pengkritik serta ahli politik.

“Penyokong rang undang-undang tersebut menyatakan siapa yang menentang RUU355 juga menentang hukum Allah.Tapi ia bukan (hukum Allah),” kata naib presiden Amanah kepada The Malaysian Insight.

Hadi yang juga ahli Parlimen Marang cuba meningkatkan hukuman Mahkamah Syariah sehingga 30 tahun penjara dan RM100,000 denda serta 100 sebatan.

Di bawah peruntukan Mahkamah Syariah sedia ada hukuman pesalah hanya sehingga tiga tahun, RM5,000 denda dan enam kali sebatan.

Rang undang-undang persendirian Hadi akan dibawa ke Dewan Rakyat untuk kali kelima. Akta tersebut tersebut dilihat dalam kertas aturan mesyuarat selama empat kali sebelum ini tetapi tiada satu melepasi bacaan pertama atau didebatkan ekoran kekangan masa dan dua kali penangguhan.

Sejak pertama kali dilihat tersenarai dalam aturan mesyuarat pada April 2015, ia disemak beberapa kali.

Versi asalnya ialah kerajaan Persekutuan memberi kuasa kepada Kelantan melaksanakan kod penal syariah.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) berkata akan menerima rang undang-undang tersebut pada awal minggu ini, namun ditolak Perdana Menteri Najib Razak kerana ia tidak selari dengan dasar konsensus perikatan tersebut.

Sementara itu, Peguam Negara Mohamed Apandi Ali memberitahu The Malaysian Insight kelegaannya dengan keputusan BN yang sekali gus tidak memerlukan beliau merangka pindaan kerana sudah menjangka ia akan ditolak jika dibentangkan.

Apandi berkata, rang undang-undang tersebut tidak disenangi sesetengah ahli politik BN yang menyuarakan kebimbangan mereka termasuk berdepan risiko kekalahan beberapa kerusi di Sabah dan Sarawak.

Beliau juga merasakan RUU335 hanya untuk meraih kepentingan politik.

Menjaga air muka Hadi

Mujahid berkata tidak terkejut apabila BN menarik semula keputusan mengenai RUU355 kerana jika mereka mahu meluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah, sudah tentu ia sudah dirangka.

Akta kerajaan, katanya pasti akan dikaji, dirangka dan dibentang serta dibahaskan, tidak seperti rang undang-undang persendirian.

“Terutama apabila ia datang daripada mereka yang mempunyai kerjasama panjang dalam pelaksanaan hudud,” katanya merujuk kepada Hadi.

“Tiada siapa patut menyatakan ia salah faham bagi pihak bukan Islam yang bimbang pindaan tersebut sebagai pengenalan undang-undang hudud.”

Mengulas mengenai kenyataan Apandi, Mujahid berkata ia sangat ironi kerana peguam negara itu sepatutnya memberi nasihat kepada kerajaan sebelum masalah itu bermula.

“Beliau sepatutnya memberikan pendapat kepada kerajaan lebih awal, bukan selepas ia berlaku. Jika kerajaan membentangkannya, tidak akan ada segala kekecohan ini. Semua akan terpulang kepada Hadi, ia menjadi arena politik.

“Paling teruk apabila permainan ini tidak akan berakhir, kerana Najib mengusulkan kepada speaker Dewan Rakyat menggunakan budi bicara untuk memberi peluang kepada Hadi membentang RUU355.”

Langkah tersebut mungkin membantu menyelamatkan air muka Hadi dan rang undang-undang tersebut akan diundi selepas debat, di mana Pakatan Harapan (PH) akan dituding sebagai orang jahat, kata Mujahid.

Katanya apabila ahli Parlimen menolak undang-undang Hadi, Najib dan BN terkecuali daripada disalahkan.

Salah faham rakyat Malaysia

Mujahid berkata akhirnya isu tersebut dipolitikkan antara Mahkamah Syariah dan Islam sebagai agama, menyebabkan salah faham di kalangan umat Islam dan bukan Islam.

Mereka yang mengkritik dan tidak menyokong rang undang- undang Hadi akan digelar kafir dan bagi Amanah pula mereka dilabel munafik.

“Sesetengah mufti juga menyokong rang undang-undang ini. Mufti Wilayah Persekutuan pernah mengeluarkan kenyataan mewajibkan ahli Parlimen Islam menyokong akta tersebut,” katanya merujuk kepada Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada September lepas.

“Ahli Parlimen Islam yang mempersoalkan undang-undang tersebut dari sudut perundangan dipandang sebagai menolak undang-undang Tuhan.

“Hanya mufti Perlis dan Pulau Pinang mahu ia dibincangkan lebih mendalam dan dibahaskan sebelum disokong.”

Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin dan Pulau Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mempersoalkan rang undang-undang Hadi serta mengkritik tuduhan kafir.

Penulis buku “Berdialog dengan Gereja – Sebuah Travelog Kedamaian” berkata rang undang-undang Hadi melebarkan jurang salah faham antara umat Islam dan bukan Islam.

Rang undang-undang Hadi ini membahagikan ahli politik di kedua-dua belah pihak.

PAS dan beberapa parti PH, iaitu DAP dan Amanah bertelagah mengenainya.

“Undang-undang tersebut yang pernah memecah-belahkan pakatan lama Pakatan Rakyat dan melemahkan kem PAS yang menyingkirkan kumpulan progresif,” katanya sambil menambah syariah tidak sepatutnya dihadkan kepada meningkatkan hukuman dan melaksanakan hudud. – 2 April, 2017.