Ahok Kalah Kerana Hina Agama?

      No Comments on Ahok Kalah Kerana Hina Agama?

1.Perkembangan budaya politik Indonesia menampakkan parti-parti politik bersaing atas kekuatan dasar untuk mendapatkan sokongan, sentimen agama walaupun menimbulkan berbagai provokasi, namun ia bukan bahan kempen parti yang bertanding dan bukan tema utama.

2. Ramai pihak mendakwa kekalahan Basuki Djahaya Purnama a.k.a Ahok kepada pencabarnya Anies Baswedan kerana Kasus Maidah 51 yang menjebak Ahok kepada tanggapan serong menghina Al Quran kerana didakwa menuturkan kata-kata ‘…jangan ditipu dengan Al Quran dari Maidah 51…’ Kenyataan yang menurut Ahok diputarbelit kerana yang disebut ialah jangan ditipu mereka yang pakai ayat Maidah 51…perkataan ‘pakai’ dibuang sehingga Ahok dikatakan menghina Al Quran.

3. Surah Maidah 51 menegaskan larangan memilih Yahudi dan Kristian menjadi pemimpin. Ahok adalah penganut Kristian. Ahok ‘diserang’ musuhnya dengan ayat ini lalu respons Ahok ialah ‘jangan ditipu oleh ‘yang pakai’ ayat ini tetapi disalaherti ‘jangan ditipu oleh ayat ini’

4. Apa pun yang berlaku, kenyataan tersebut telah mencabar asas ‘berkempen politik bebas sentimen agama’ kerana ‘godaan’ eksploitasi sentimen agama dilihat mampu menjatuhkan kawan dan lawan dengan mudah.

5. Seperti sesetengah pihak di Indonesia, di Malaysia komentar awal kekalahan Ahok dikaitkan dengan faktor menghina agama dan ada yang mengucap syabas kerana umat Islam Jakarta bersatu menolak calon yang menghina Islam. Kata-kata yang benar tapi malangnya Kasus Maidah 51 dalam kes Ahok bukan faktor tunggal.

6. Saya melihat di Indonesia, hanya kelompok non-political yang agak radikal mencetuskan Kasus Maidah 51, adapun pesaing Ahok, Pak Anies menumpukan kelemahan dasar dan keperwatakan kepimpinan Ahok. Kempen berasaskan kebencian agama dicetuskan melaui FPI( Front Pembela Islam) dan beberapa kelompok Ulamak dan Pak Ustaz dan Kiyai. Walaupun kontraversi itu berakhir dengan memohon maaf dari pihak Ahok dan penegasan bahawa dia tidak menghina Al Quran mahupun Islam, isu tersebut berterusan sehingga melatari kempen pilihanraya Gubenor Jakarta.

7. Faktor kekalahan selain isu menghina, lebih kepada pilihan pengundi yang tidak puas hati kepada ketegasan Ahok dalam isu perbandaran dalam usaha memerangi korupsi dan ketegasan Ahok dalam projek-projek tertentu yang melibatkan isu pampasan. Style ‘kesumateraan’ Ahok tidak disukai dengan gaya betawi pentadbiran yang lebih relaks. Pilihan pengundi yang terlibat dalam dasar pentadbiran Ahok yang merupakan penyandang lebih kepada penolakan kepada gaya pentadbiran Ahok.

8. Sebelumnya dalam satu dapatan poll tentang prestasi kerja Ahok, orang ramai meletakkan 70% kadar sokongan, begitu juga skor yang tinggi diperoleh tentang Ahok perlu kekal. Namun isu para konstituen (pengundi)yang lebih besar menghantui Ahok dan gaya kepimpinannya. Ahok ada kualiti sebagai pentadbir namun Ahok juga menjadi ‘korban’ kepada konstituen yang tidak berpuas hati, malangnya kelompok ini lebih ramai.

9.Para komentar yang ambil mudah merumuskan faktor tunggal Hina Agama, melakukan ketidakadilan kepada dinamika pentadbiran dan kebertanggungjawaban mensejahterakan rakyat. Kita tidak mempertikaikan sesuatu yang objektif tetapi emotif dan subjektif.

10. Para pengkritik Ahok di Indonesia Kasus Maidah 51 bukan orang politik tetapi kelompok non-politikal yang main sentimen hina Islam dsb, malangnya di Malaysia, parti politk tertentu dari parti politik Islam ambil kesempatan main isu ini. Apakah parti Islam itu tiada kritikan pentadbiran dan isu dasar yang diketengahkan?

11. Kebimbangan saya terhadap komentar simplistik yang tidak sepatutnya ambil isu hina agama sebagai faktor tunggal melambangkan ketidaksediaan parti tertentu untuk melihat sisi pentadbiran kerajaan yang sepatutnya menjadi fokus. Parti itu meletakkan dirinya sama taraf dengan hiruk pikuk golongan non-political yang sudah pasti tiada pertanggungjawaban kuasa.

Banyak yang boleh dipelajari kasus kekalahan Ahok namun yang pasti kita tidak boleh terlalu simplistik.

Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden AMANAH
Ahli Parlimen Malaysia