Al-Fatihah Buat Ayahanda

      No Comments on Al-Fatihah Buat Ayahanda

1. Seorang manusia yang lahir pada tanggal 8 Mei 1922 bakal mengukir nama sebagai tokoh politik dan ulamak serta ahli korporat yang berjaya. Kelahirannya dari keluarga Rawa yang mulia beribukan Hajjah Asmah Binti Saleh Rawa dari silsilah Tuan Syeikh Rawa ulamak tersohor nusantara. Ayahnya Haji Abdullah Nordin ar Rawi peniaga dan perantau gigih menduga nasib di Pulau Pinang.

2. Yusof Bin Abdullah nama diberi anak kedua dari 8 beranak dan dibesar dalam disiplin ketat ayahnya. Kecerdikan Yusof membawa beliau ke sekolah tersohor Penang Free School, namun kerisauan ayahnya ke atas Yusof kerana dididik oleh ‘sekolah kafir’ penjajah merencatkan cita-cita anak muda Yusof. Melayakkan diri ke Penang Free School adalah satu langkah kejayaan karier dalam pentadbiran kerajaan British.

3. Haji Abdullah ada perancangan lain untuk anaknya Yusof. Dia mahu Yusof mendalami agama di Mekah kerana keluarga Rawa ramai di sana. Mungkin juga dia mahu Yusof mewarisi perniagaannya antara lain ialah menguruskan jemaah haji. Sambil menyelam sambil minum air, itulah hasrat Haji Abdullah.

4. Tanpa diketahui perancangan ayahnya, Yusof dihantar ke Mekah untuk melakukan ibadat Haji, namun satu surat dimaklumkan kepada keluarga di Mekah agar menguruskan persekolahan Yusof dan menyimkan paspotnya. Surat itu dibawa oleh Yusof yang diamanahkan jangan buka dan sampaikan kepada keluarga di sana sejurus sampai.

5. Selepas selesai ibadat haji barulah dimaklumkan bahawa ayahanda Abdullah berpesan supaya anak muda Yusof yang berumur 15 tahun terus berada di Mekah untuk belajar du sana. Segala cerita selepas itu menjadi sebahagian sejarah hidup Yusof Bin Abdullah.

6. Anak muda Yusof kini dikenali sebagai Haji Yusof Rawa Bin Abdullah Nordin ar Rawi kembali setelah berbelas tahun di Mekah dengan segenggam harapan mewarisi perniagaan ayahnya Kedai Kitab Haji Abdullah Nordin Ar Rawi (1902) di 55 Lebuh Acheh, Pulau Pinang. Semangat juangnya untuk watan tidak padam dan mula berjinak dengan politik bersama Persatuan Islam Se Malaya (Pan Islamic Party Malaya, kini PAS)

7. Karier politik bermula pada pilihanraya tahun 1959 dan 1964 bertanding di Perlis dan Seberang Perai, 1969 Kota Setar Selatan mengalahkan Dr Mahathir Mohamed. Haji Yusof Rawa mendaki karier politik dalam parti PAS dari bawah sehingga diberi kepercayaan memimpin PAS sebagai Presidennya (1982-1989) dan kemudian sebagai Murshidul Am pertama (1987-1995)

8. Berkhidmat untuk negara sebagai Wakil ke PBB selama 1 tahun di New York 1972, Timbalan Menteri Perusahaan Utama(1973- 75)dan Duta Besar ke Iran, Turki dan Afghanistan (1975-1978). Berhenti untuk kembali ke pangkuan PAS apabila disingkirkan daripada BN untuk menjadi pembangkang kembali.

9. Seorang ayah yang penyayang tetapi tegas dan mementingkan kejujuran dan berpegang kepada prinsip serta setia dengan persahabatan. Disiplinnya ketat menyimpan semua surat diutuskan dengan anak-anaknya di luar negara termasuk salinan surat balasannya.

10. Mendidik anak-anak meniti kehidupan secara berdikari. Haji Yusof Rawa tidak percaya kepada jalan pintas, baginya setiap kesusahan adalah langkah kepada keselesaan dan pencapaian dengan usaha sendiri adalah satu keinsafan bukan kebanggaan. Prinsip adalah segalanya bagi Haji Yusof Rawa.

11. Hari ini pada 28 April tahun 2000, pada hari Jumaat pagi subuh yang hening Haji Yusof Rawa sendiri bershahadah dengan jari telunjuknya dituju ke atas berkali-kali buat kali terakhir. Sebelumnya dia berpeluh sejuk dan mengadu sakit perut pada malamnya. Demi Allah saya berada di sisinya sambil mengusap kepalanya bersalawat lalu lafaznya terakhir yang jelas kedengaran “abah nak pergi dah…” dia menarik selimut menutup wajahnya tetapi tak sempat ketika hela nafas terakhirnya terhenti selamanya.

Kami rindui belaiannya dan akan kami semat sebagai azam, prinsip yang diajar sementara berbaki kehidupan ini untuk kami wariskan pula kepada generasi seterusnya dari leluhur Tuan Syeikh Rawa.

اللهم اغفر له وارحمه و ادخله جنتك الفسيح يا حنان يا منان….
Dari kami semua..

28 April 2017
2 Syaaban 1438