Terus Bertindak, Tidak Perlu Tunggu PRU

Kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad bahawa tindakan kepada kes berprofil tinggi yang melibatkan ahli politik akan diambil selepas pilihan raya adalah sangat mengecewakan.

Saya menyeru kepada pihak SPRM untuk sentiasa bertindak proaktif kepada mana-mana kesalahan.

Tindakan badan penting ini tidak seharusnya mengikut waktu, tidak perlu mengenal siapa, hatta perdana menteri sekalipun, tidak perlu mengira kecil atau besar nilai rasuah tersebut.

Bertindaklah sebagai sebuah badan yang berintegriti, bermaruah dan tidak diskriminasi kepada apa jua keadaan. Rasuah ini perlu dilihat sebagai suatu tindakan yang paling kotor dalam urusan kehidupan kita, maka tindakan tangkas dan tepat perlu segera dilakukan, jangan tangguh!

Saya tidak takut dan gentar sekiranya pesalah tersebut dari kalangan rakan-rakan politik sekumpulan dengan saya, apatah lagi dengan seteru politik saya, tetapi apa yang penting kita dapat mendidik orang ramai bahawa perlu sentiasa amanah dalam urusan pentadbiran dan kehidupan.

Junjungan besar Nabi Muhammad SAW telah mengajar kita beribu tahun lamanya bahawa nilai amanah merupakan ‘the way of life’ dalam apa jua urusan kehidupan baginda sehingga gelaran Al-Amin kekal sehingga kini.

Justeru, terus bertindak!

Dr. Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Parit Buntar