Kemarahan Pemandu dan Jamaah Masjid

1. Kejadian kemarahan para Jamaah solat Jumaat Austin Perdana, akibat perbuatan pemandu yang membunyikan honnya kerana dipercayai tersekat keretanya perlu diselesaikan dengan cara berhemah dan mengikut prinsip undang-undang.

2. Tanpa menghukum siapa yang bersalah, kedua belah pihak tetap terikat dengan prinsip undang-undang dan tidak boleh mana-mana pihak mengambil tindakan sendiri. Suasana berpotensi bertukar menjadi huru-hara jika setiap pihak tidak kembali kepada prinsip undang-undang.

3. Gagal mengawal kesabaran boleh mencetuskan kemarahan. Kedua pihak seharusnya mengawal diri masing-masing apatah lagi dalam suasana seperti tersangkut kereta di tempat-tempat ibadat seperti masjid, surau, gereja dan kuil-kuil. Kepekaan kita tidak menimbulkan provokasi di tempat-tempat ini perlu diberi perhatian.

4. Saya menyeru agar penyelesaian secara berhemah diperlukan dan bukan dengan kekasaran yang boleh menimbulkan isu lain yang lebih berbahaya iaitu kebencian kaum dan agama.

5. Pihak tertentu yang sememangnya menanti peluang mencetuskan kebencian kaum dan agama untuk tujuan sempit akan mengeksploitasi keadaan dan meluaskan daerah kebencian. Keadaan diburukkan lagi dalam dunia sosial media yang tidak dapat dikawal.

6. Saya difahamkan isu di Masjid Austin Perdana telah mencapai persefahaman dengan pihak yang terlibat. Bagi tidak mengulangi keadaan yang sama yang berpotensi berlaku di mana-mana kawasan rumah ibadat, marilah sama-sama kita menjadi warganegara yang peka, prihatin dan menghormati undang-undang.

#RAHMATAN LILALAMIN

Sekian

Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia
Naib Presiden AMANAH

Gambar kredit: KisahViral