13 Mei Jadi Sejarah

      No Comments on 13 Mei Jadi Sejarah

1. 13 Mei 1969 bukanlah sejarah yang hendak dibanggakan, ia seharusnya sejarah negara yang meninggalkan bekas pengajaran kepada generasi pewaris.

2. Sesebuah negara terpaksa melalui proses melalui detik pahit dan manis dari peristiwa yang membentuk jatidiri dan semangat patriotik mereka. Kini setelah 48 tahun berlalu peristiwa 13 Mei masih berbekas dan menjadi bahan cerita sesekali ditokok tambah dengan mitos dan kisah lagenda.

3. Malangnya bekas perbalahan kaum berdarah itu disuburkan oleh sesetengah pihak dengan membawa agenda rasis diselit dengan kebencian agama. Masih lagi ada seruan ‘ bahaya bangsa asing (kaum Cina)’ ‘ bela bangsa (Melayu) ‘pendatang’ dan ‘perpaduan Melayu’.

4. Peristiwa 48 tahun lalu patut menjadi sempadan agar rasisma dan agama sempit tidak menjadi aturan dalam hubungan antara kaum. Kita wajib menghalau gangguan ‘hantu 13 Mei’ menggunakan ‘jampi Bangsa Malaysia’ dengan tekad memelihara fondasi negara yang merangkul erti Kepelbagaian.

5. Tolak mesej kebencian kaum dan agama oleh sesetengah pihak kerana dalam suasana kleptokrasi dan salahguna kuasa pihak yang memerintah, kebencian kaum dan agama mudah menjadi alat mencapai maksud sempit sesetengah golongan apatah lagi jika ia diinsitusikan dan diberkati oleh golongan agamawan dan tokoh masyarakat.

6. 13 Mei jadi sempadan, kita bina negara bangsa untuk Malaysia, bagi yang tiada tenaga dan masih teruja dengan nuansa rasis dan agama sempit, berikan ruang negara ini untuk meneruskan bahtera merdekanya kepada yang mahu memelihara dan menjaga Malaysia.

Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden AMANAH
Ahli Parlimen Malaysia

13 Mei 2017

Gambar kredit: The Malaysian Times