Naratif Baru Demi Malaysia

      No Comments on Naratif Baru Demi Malaysia

1. Walaupun Bangsa Arab adalah bangsa yang dibangkitkan dari kalangan mereka Nabi akhir zaman, namun Arab tidak pernah mendakwa formula Arab-Islam, Islam- Arab.

2. Adalah amat jelas kenapa ini tidak berlaku, pertama Arab itu bangsa dan Islam itu agama. Kedua, Nabi Muhammad s.a.w adalah Nabi untuk semua kaum dan bangsa dan ketiga bangsa bukan kayu pengukur kemuliaan tetapi nilaiTaqwa dalam agama yang menjadi kayu pengukur Pencipta.

3. Bagi menjaga nama baik Agama, Nabi Muhammad tidak pernah menjadikan perjuangan perkauman sebagai asas, malah membencinya dan Baginda tidak mengakui pejuang kaum di kalangan umatnya.

4. Islam adalah milik semua, setiap bangsa yang menerimanya akan diberi kemuliaan walaupun mereka bukan Arab. Malah tamadun Islam bersilih ganti dari Arab ke Farsi ke Kurdi ke Turki dan ke bangsa Melayu. Islam boleh diterima tanpa mengira kaum dan bangsa tetapi Arab tidak bole menjadi Farsi dan Farsi tidak boleh menjadi Kurdi dan Kurdi bukan Turki dan Bangsa Melayu bukan bangsa kesemuanya di atas.

5. Bangsa boleh terhapus tetapi Agama tetap dipelihara Allah. Apabila Melayu-Islam, Islam-Melayu, naratif kita terbantut, apatah lagi dalam konteks sebuah negara majmuk seperti Malaysia, konsep kewarganegaraan membantut kewujudan Bangsa Malaysia yang merentasi sempadan kaum dan agama.

6. Islam-Melayu, Melayu-Islam turut menghalang kebobrokan penguasa kerana apabila pemimpin negara merompak kekayaan negara naratif yang dipakai ialah ‘kita kena utamakan ‘Bangsa dan Agama’ jadi kita perlu bersatu demi bangsa dan agama.’ Rasuah dan tiada integriti bukan perkiraan.

7. Melayu Islam, Islam Melayu turut mempertunggangkan para agamawan yang dianggap paling berotoriti tanpa mereka sedari menjadi ‘pembela’ kepada perompak kekayaan negara di kalangan pemimpin.

8. Naratif Islam-Melayu, Melayu-Islam turut menimbulkan kebencian kaum dan agama sehingga istilah ‘Kafir Harbi’ dan ‘Musuh Islam’ sewenangnya dipakai dan menggugat kesepaduan rakyat.

9. Lebih malang kuasa rakyat untuk menentukan pimpinan masadepan negara melalui pilihanraya demokrasi dibantut dengan naratif Melayu-Islam yang menghalang pilihan terbaik untuk rakyat dan terus memecahkan undi berperinsip yang diperlukan negara.

10. Justeru, naratif baru diperlukan di mana asasnya ialah kewarganegaraan, keadilan dan kebebasan beragama mengikut Hak Perlembagaan Persekutuan yang menjadi terma kontrak seluruh rakyat Malaysia.

11. Naratif baru ini adalah Islamik dan sesuai dengan Maqasid Syariah dalam pembentukan sebuah negara bermaruah dan berintegriti. Melayu tak perlu bimbang dan Islam tetap menjadi asas kewujudan negara ini. Memuliakan nilai keadilan, hak dan memenuhi janji akan menjamin kesepaduan dan menolak segala kemusnahan negara.

“NARATIF BARU, MALAYSIA BARU”

Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Malaysia
Naib Presiden AMANAH NEGARA

5 July 2017

Gambar kredit: Vulcanpost