Rakyat Tuntut Keputusan Tegas

      No Comments on Rakyat Tuntut Keputusan Tegas

Tahniah pada kenyataan ringkas dan padat oleh pimpinan PH dalam mesyuarat Majlis Presidennya baru-baru ini. Kenyataan akhbar merujuk kepada hubungan PH dan PAS yang menjadi perbualan panas di kalangan ahli parti komponen PH dan penyokong PH. PH tiada hubungan dengan PAS dan menumpukan kepada pengukuhan PH bagi menghadapi PRU akan datang.

1. Setakat ini PAS masih kekal dengan sikap menolak bekerjasama dengan PH dengan serangan bertubi-tubi kepada Pengerusi PH dan parti komponen dari DAP dan AMANAH.

2. Untuk KEADILAN, PAS punya hubungan selektif khususnya dengan YAB DS Azmin Ali atas alasan PAS masih lagi kerajaan di Selangor.

3. Tiada siapa yang menghalang mana-mana parti komponen secara individu berhubung dengan mana- mana pihak namun jika ada kesan kepada organisasi parti PH, parti komponen lain berhak menimbulkan soalan khususnya tentang masa depan PH.

4. Hubungan selektif PAS-KEADILAN menimbulkan kebimbangan kepada parti komponen dan para pendokong PH. Ini memandangkan alasan DS Azmin Ali ialah mahu mengelak pertembungan 3 penjuru. Demikian alasan kelompok KEADILAN yang bersetuju dengan DS Azmin Ali.

5. Nampaknya ia alasan yang kelihatan penuh skema, namun keperluan memutuskan sikap berdolak-dalik PAS adalah sebahagian daripada jawapan kepada 3 penjuru.

6. Bagaimana ketegasan PH dapat menjawab soalan 3 penjuru? Ketegasan PH memungkinkan PAS terus tersisih dari kerangka gabungan pembangkang agar pengundi dapat membuat keputusan lebih mudah.

7. PAS juga terpaksa membuat keputusan secara tegas samada mahu masuk cara solo atau ada rundingan sulit dengan UMNO. Itu masalah PAS yang akan dinilai oleh pengundi nanti. Melayan sikap PAS hanya mengukuhkan persepsi PH lemah dan berpecah. Itu yang UMNO mahu.

8. Kelibat mazhab elak 3 penjuru sering mengganggu ketegasan yang dituntut oleh rakyat dan usaha sebilangan besar komponen PH. Ya! 3 penjuru menghantui kita tetapi kita juga ada ruang masa untuk memberi penjelasan dan perkembangan baru dapat menampung kehilangan pengaruh PAS. 3 Penjuru adalah realiti yang mampu ditangani dengan ketegasan PH menolak perangai flip-flop PAS dalam melawan UMNO/BN.

9. Ramai yang kecewa dengan PAS dan sesiapa sahaja yang bermazhabkan elak 3 penjuru kerana berhemoi (hidung tak mancung pipi tersorong-sorong) kepada parti yang mempermainkan kepentingan membuang kerajaan kleptokrasi BN.

10. Kepelikan sikap PAS pada isu 1MDB dan hubungan ‘gelap’ dengan Umno menyebabkan ia mendapat jolokan ‘makan keliling’ bak kata ahli parlimen PAS Yb Dato’ Mahfuz Omar. Ia tanggapan negatif pada PH jika hubungan selektif PAS – KEADILAN berterusan.

11. AMANAH menerima isu keterlibatan PAS dalam kerajaan Selangor dengan dada terbuka tetapi ini bukan bermakna mazhab elak 3 penjuru mewajarkan tindakan ‘ambil kesempatan’ suasana ke atas survival PH di mata pengundi seluruh negara.

12. Rakyat mahu ketegasan dan muak dengan sikap makan keliling PAS dan hubungan gelapnya dengan UMNO. PH punya kesungguhan menamatkan hayat BN dengan memberi peluang kepada politik baharu muncul. Kejayaan PH meyakinkan pengundi dengan satu suara dan langkah sederap akan melenyapkan kebimbangan 3 penjuru.

13. Sesungguhnya kejayaan memacak slogan: “PH vs BN” akan menjawab berbagai misteri kelibat hubungan selektif PAS-KEADILAN. Pada waktu yang sama KEADILAN perlu tangani tularan wujudnya ‘kartel’ dalam partinya dan tidak perlulah mengheret PH dalam persaingan dalamannya.

Sekian

Yb Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden Parti AMANAH
Ahli Parlimen Parit Buntar

30 Ogos 2017

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE 60