Henti Arak Dengan Berhikmah

      No Comments on Henti Arak Dengan Berhikmah

1. Saya telah jelaskan bahawa isu arak dan kesannya hanya diharamkan secara taklif syarie’ ke atas umat Islam manakala kepada bukan Islam taklif syarie’ pengharaman tidak dipertanggungjawabkan ke atas mereka.

2. Syariat Islam memberi ruang kepada non-muslim untuk konsumsi arak atau alkohol atas dua sebab, pertama, Islam tidak mahu memaksa tanggungjawab syarie’ ke atas bukan Islam atas konsep La Ikraha (tiada paksaan), dan kedua Islam menghormati hak agama lain jika amalan agamanya mengizinkan perbuatan tersebut.

3. Apa yang saya utarakan dalam artikel sebelum ini (sila rujuk ‘ PESTA ARAK DAN HAL BERKENAAN DALAM MENENTUKAN HAK BUKAN ISLAM DALAM SIYASAH SYARIEYAH’) adalah atas premis Maslahat Kekuasaan dalam memelihara hak-hak kewarganegaraan.

4. Artikel kali ini membicarakan premis dakwah dalam menangani gejala arak dan kaitannya melalui kaedah nasihat dan peringatan. Isu gejala arak atau alkoholism selain di bicarakan dalam konteks siyasah syarieyah dari segi hak perlu diberi sentuhan dakwah secara hikmah.

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ
أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِين

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (An Nahl: 125)

5. Asas dakwah bermula dengan fahaman bahawa kita hanya mengingkari perbuatan seseorang atas sebab implikasi perbuatan berpotensi merosakkan diri namun untuk pelakunya kita perlu ada sifat kasih kepadanya dan membimbingnya keluar dari potensi kerosakan. Ramai kita tersasar apabila kita gabungkan kebencian terhadap perbuatan dan pelaku sekaligus!

6. Dalam konteks kebersamaan, isu arak atau dalam konteks penyakit sosial disebut ‘alchohol menace’ dikongsi kesan buruknya oleh semua pihak dan bukan orang Islam sahaja. Ini adalah peluang terbaik untuk kerangka dakwah bekerjasama dengan semua pihak muslim dan non muslim menanganinya secara inklusif isu kesan alkohol dan bukan secara eksklusif.

7. Berbagai pendekatan yang kreatif seperti melihat kesan rumahtangga,sosial, kesihatan dan ekonomi boleh dikongsi maklumat bersama dengan ngo bukan Islam yang menjurus kepada matlamat menangani gejala alkohol.

8. Jauhi sama sekali tanggapan isu arak adalah antara Islam lawan bukan Islam, ia adalah isu universal masalah bersama. Pandangan sesetengah pihak bahawa Pesta Arak menghina Islam lantas satu perhimpunan besar akan diadakan untuk tujuan tersebut hanya memburukkan keadaan.

9. Kita akan lihat ia akan menjadi eksploitasi politik dan para oportunis dan kelompok rasis akan terus melebarkan lagi kebencian jurang Muslim dan non Muslim. Pesta Arak dalam kerangka dakwah dengan hikmah(bil hikmah) adalah ‘way forward’ menangani isu secara efektif bukan kebencian dan ambil kesempatan siapa lebih Islamik!

10. Akhirnya janganlah pesta arak ini memalingkan kita daripada gejala lebih besar mudaratnya yang membuatkan seluruh rakyat derita apabila pemimpin negara merompak harta rakyat dalam amalan kleptokrasi terbesar dunia!

“HENTI MINUM, NIKMATI HIDUP DENGAN SENYUM!”

Yb Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden AMANAH
Pengerusi AMANAH Pulau Pinang
Ahli Parlimen Parit Buntar

20/09/2017