Ucapan Bahas Bajet 2018

      No Comments on Ucapan Bahas Bajet 2018

Assalamualaikum wwbrkth

هو الذى أنشأكم من الارض واستعمروكم فيها (Hud 61)

….Dialah yang telah menciptakan kamu dari bumi (tanah), dan memerintahkan kamu memakmurkannya…”

TANGGUNGJAWAB MANUSIA

Tujuan utama manusia diberikan kuasa di bumi ialah untuk memakmurkan dunia ini dengan memastikan keamanan dan kestabilan terpelihara. Sesebuah negara tidak akan tertegak tanpa suasana yang mengembangkannya melalui kepimpinan yang berAMANAH. Allah berfirman;

انا عرضنا الامانة على السموات والارض و ابين ان يحملنها واشفقن منها وحملها الإنسان انه كان ظلوما جهولا

(Al Ahzab : 72)

WAWASAN 2020

Dalam konteks Malaysia, Visi negara bermula dari tahun 1991 diterjemahkan pada usaha mencapai W2020 sebagai AMANAH pemimpin memakmurkan penduduk negara ini. Dalamnya yang digariskan cabaran secara strategik untuk mencapai HARAPAN rakyat Malaysia.

Pertama

Mewujudkan negara Malaysia BERSATU yang mempunyai matlamat yang serupa dan dikongsi bersama. Ia mesti menjadi negara yang AMAN, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam HARMONI, berkerjasama sepenuhnya, secara ADIL dan didokong oleh satu BANGSA MALAYSIA yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara;

Kedua

Mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan KEYAKINAN TERHADAP DIRI SENDIRI, bangga dengan apa yang dicapai serta gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, sedar semua kemampuannya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain;

Ketiga

Mewujud dan membangunkan MASYARAKAT DEMOKRATIK yang matang, mengamalkan satu bentuk persefahaman yang matang, DEMOKRASI Malaysia berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada banyak negara membangun;

Keempat

Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, yang mana warganegaranya kukuh dalam nilai agama, dan kejiwaan dan didorong oleh tahap ETIKA PALING TINGGI.

Kelima

Mewujudkan masyarakat LIBERAL dan BERTOLAK ANSUR rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama, meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara;

Keenam

Mewujudkan masyarakat saintifik dan PROGRESIF , mempunyai daya perubahan tinggi dan memandang ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga menyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan;

Ketujuh

Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mana kepentingan masyarakat lebih utama daripada diri sendiri dan KEBAJIKAN INSAN tidak berkisar kepada negara atau individu tetapi di sekeliling SISTEM KEKELUARGAAN yang kukuh;

Kelapan

pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama di mana wujud perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi. Masyarakat sedemikian tidak akan wujud jika masih ada PENGENALAN KAUM BERDSARKAN EKONOMI dan kesemua kemunduran ekonomi berdasarkan kaum; dan

Kesembilan

Mewujudkan MASYARAKAT MAKMUR yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.

BAJET KRITIKAL

Bajet Negara 2018 kali ini dibentangkan dalam suasana kritikal berlatarbelakangkan beberapa perkara;

a. kita ada 2 tahun sebelum 2020 tercapai iaitu menjadi negara maju

b. pecutan 2 tahun terakhir melaksanakan target secara operasi RMK 11 (2016-2020)

c. bajet terakhir sebelum pembubaran mandatori parlimen ke 13 (Ogos 2018)

Bagi mengelak sebarang perbahasan tersasar, saya akan menumpukan kepada memberi pandangan dan kritikan saya pada bajet 2018 berasaskan 3 perkara di atas iaitu Cabaran W2020, RMK 11 dan PRU ke 14

CABARAN W2020

Jika kita melusuri 9 cabaran untuk mencapai W2020, kita akan dapati negara ini tidak berada pada landasannya yang betul. Ini adalah kerana kita tidak mengatasi cabaran di atas dengan set minda yang betul. Saya hanya mengambil 3 cabaran untuk memberi komen pada peruntukan RM280b yang akan dibelanjakan.

a. CABARAN BANGSA MALAYSIA,

Inilah masalah utama kerajaan (BN) yang hendak membawa cabaran ini apatah lagi mendokongnya. Kepentingan politik dan keinginan untuk terus berkuasa BN meletakkan pencapaian BANGSA MALAYSIA terhalang atas beberapa sebab, Pertama, gagalnya BN membendung kebangkitan KEBENCIAN KAUM yang kini merebak sebagai barah. Walaupun BN bukan entiti perkauman namun parti yang dominan dalam BN ‘dimandulkan’ nilai kepelbagaian yang sepatutnya dominan dengan membiarkan isu perkauman berleluasa tanpa satu ketegasan.Tindakan Pemuda UMNO dari insiden menentang dan merempuh bangunan dewan perniagaan Cina kerana tuntutan Pilihanraya Suqiu 1999, Menghunus Keris dalam perhimpunan agung pemuda Umno 2006 oleh Ketuanya, Sembelih lembu dan pijak lembu (2008) kerana menentang penempatan semula kuil Hindu, Tindakan rasis Jamal Yunus Ketua Bahagian Umno Sungai Besar dll kenyataan yang telah melukakan parut perkauman. Di manakah pembentukan BANGSA MALAYSIA dalam semua ini?

BANGSA MALAYSIA juga terhalang apabila sesebuah parti politik dijadikan sebagai ‘punching bag’ untuk menyuburkan lagi kebencian kaum. Saya memberi amaran bahawa menjadikan sesebuah parti sebagai tempat menghemburkan kemarahan walaupun atas motif politik memberi kesan kepada hubungan kaum di negara ini kerana kita masih terjebak lagi dengan identiti politik yang mengaitkan sesuatu parti dengan kaum tertentu. Apa yang asalnya adalah ‘serangan politik’ boleh bertukar menjadi serangan kaum yang amat bahaya. Mengaitkan sesebuah parti politik dengan teori konspirasi seperti ‘menjadikan Malaysia negara Kristian’ agenda RASIS, FASIS, Konspirasi dengan negara luar’ dan Dominasi sesuatu kaum konon boleh menghancurkan negara adalah mainan terkotor kerana berjuta rakyat di bawah akan kehilangan peluang mendapat persaingan politik tawaran yang terbaik, sebaliknya rakyat dihidangkan politik jijik perkauman dan teori konspirasi yang menimbulkan prejudis dan kebencian.

b. MASYARAKAT LIBERAL DAN TOLERAN

Di manakah masyarakat ini apabila perkataan LIBERAL terlalu taboo , didefinasikan secara sempit dan dihakmilikkan hanya oleh golongan otoriti agama? Di manakah TOLERAN jika agama diradikalisasikan? Bagaimana kerajaan mengimbangkan keadaan jika orang dibawah gajinya sendiri dengan berjawatan Penolong Pengarah Kanan Agama Penjara Malaysia memporak perandakan masyarakat Islam dengan pandangan agama yang memecahbelahkan antara mazhab dalam Islam sendiri? Siapakah melantik orang ini mewakili AHLI SUNNAH WAL JAMAAH dan mewajarkan semua pandangan ekstrimnya? Ironinya orang ini dibawa merata tempat oleh pihak PDRM bawah Ketua Penolong Pengarah Cawangan Khas untuk membentras ‘Keganasan’. Bagaimana KDN tidak menapis orang seperti ini sedangkan KDN berada di hadapan sekali membenteras radikalism dan ekstrimism yang menjadi benih terorisma. Begitu juga kenyataan Mufti di sebuah negeri di pantai timur yang melabel orang kafir tertentu dari parti tertentu sebagai HARBI tanpa berfikir panjang kesan dan kewajaran ilmiyah pada kenyataan itu. Saya telah mengemukakan RUU atas bill persendirian iaitu Jenayah Kebencian Kaum dan Agama bagi memastikan keharmonian tanpa menyekat kebebasan bersuara.

LIBERAL didefinasikan sewenangnya kepada kononnya bahaya pandangan progresif yang menuntut keterangkuman dan menghormati kepelbagaian. LIBERAL dikaitkan dengan menyamakan semua agama, mencairkan Islam, menyokong LGBT dan tunduk agenda Barat. Sedangkan masyarakat LIBERAL ialah masyarakat yang menghormati kepelbagaian dan menghormati hak masing-masing termasuk hak beragama dalam kerangka perundangan negara dan prinsip keadilan. Islam menyeru kepada kepelbagaian dan hormat menghormati dalam kerangka yang dizinkan syara’ bukan menggalakkan kemaksiatan! Bersikap liberal dalam menilai kepelbagaian bukan menyokong LGBT maupun mencairkan agama.

Masyarakat LIBERAL juga adalah masyarakat yang melihat berbagai pandangan sebagai persaingan ide yang boleh diterima dan ditolak atau dimurnikan. Islam amat menggalakkan kepelbagaian pandangan ini dan segala penghujahan adalah kayu pengukur menerima atau menolak, bukan menyekat pandangan. Al Quran menggalakkan pertanyaan walaupun Penciptanya adalah Allah dalam Al Baqarah : 33, kisah penciptaan Adam yang dipersoalkan oleh Malaikat. Allah menjawab dengan hujah bukan dengan menutup mulut daripada soalan para malaikat.

Apa yang berlaku ke atas penahanan Mustafa Akyol di KLIA baru-baru ini atas tuduhan mengajar agama tanpa tauliah adalah bercanggah dengan semangat dan prinsip kebebasan yang dianjurkan oleh Islam. Pihak otoriti agama memberikan gambaran yang buruk kepada dunia bahawa berdiskusi secara ilmiah pada pandangan yang berhujahkan agama adalah satu kesalahan dan perlu kepada tauliah untuk berbuat demikian. Program anjuran IRF itu adalah wacana ilmiyah yang sifatnya berbagai dimensi dengan hujahan masing-masing bukan majlis membaca kitab di mesjid yang sifatnya hitam-putih! Apakah JAWI yang bertanggunjawab atas penahanan Mustafa Akyol (seorang pemikir Islam Turki) melampaui prinsip artikel 10 Perlembagaan Persekutuan? Malah Dato’ Dr Farouk Musa Pengerusi IRF telah didakwa kerana bersubahat membawa pengkuliah yang tidak bertauliah!

W2020 meletakkan istilah LIBERAL sebagai kayu pengukur kejayaan bukan masyarakat LITERAL yang kaku.

TOLERANkah masyarakat kita apabila kerajaan mengheret rakyat dalam polemik RUU 355 yang menyaksikan budaya label melabel atas nama agama? Permainan apakah ini sehingga sebuah parti Islam terjebak dalam perangkap permainan politik yang amat berbahaya? Asalnya hanyalah satu akta yang mahu dipinda, tiba-tiba menjadi ‘medan perang’ antara Islam lwn Anti-Islam. Ahli Parlimen Islam ‘wajib’ sokong, tolak RUU 355 adalah anti-hudud, ‘MP bukan Islam diam! ‘jikalau tolak mati akan masuk ‘jirat Cina’, Munafiq, Liberal dll. Takfiri atas nama agama tular dalam media sosial hanya kerana RUU 355 yang mahu ditingkatkan hukumannya. Saya mengatakan Kerajaan BN bertanggungjawab sepenuhnya polemik ini, kerana beberapa sebab

Kerajaan harus jujur isu perundangan Islam bukan terletak pada RUU 355 tetapi masalah penguatkuasaan serta pentadbiran dan pengurusan sumber manusia Mahkamah Syariah yang perlu ditangani secara holistik.
Berhenti bermain tarik tali permainan politik dengan parti tertentu atas nama RUU 355 dan kembali kepada inisiatif kerajaan memperkenalkan apa juga bentuk pindaan yang lebih menyeluruh dan berobjektif dalam perundangan Syariah.
Kerajaan seolah membiarkan semangat perbahasan di parlimen dihampakan dengan melebarkan lagi jurang antara Muslim dan non Muslim sedangkan proses demokrasi berparlimen memberikan hak untuk dibahaskan oleh semua pihak sebagai perkara perundangan dan bukan persoalan aqidah yang mewajibkan batal kekufuran antara dosa atau pahala mahupun halal atau haram. Polemik RUU 355 adalah kes awalan yang amat buruk dibuka pintunya oleh BN dan sekaligus memecahbelahkan masyarakat berbagai kaum di bawah sana. kita menjadi tidak toleran dan keras.

c. MASYARAKAT DEMOKRATIK

Negara dalam W2020 mensasarkan sebuah masyarakat yang bukan sahaja demokratik,tetapi matang dengan mengekalkan kesetiaan kepada negara sebagai faktor penyatu. Malaysia terbina atas keyakinannya terhadap prinsip demokrasi. Perjalanan kita sepanjang 61 tahun melalui kejelasan Bapa Kemerdekaan dan tokoh Pembina Negara adalah AMANAH yang dipikul oleh pewaris negara bertuah ini. Kita hanya perlu melihat indikator samada tercapai atau tidak status masyarakat demokratik yang matang. Saya menggunakan 11 indikator untuk menilai kejayaan samada tercapai atau tidak Wawasan ini.

  1. Civil Rights
  2. Economic and SocialRights
  3. Civil and Political Participation
  4. Political Parties
  5. Free and Fair Elections
  6. Rule of Law
  7. Military and Police control
  8. Government accountability
  9. Corruption
  10. Media
  11. Government responsiveness

Secara jujurnya banyak isu melalui indikator ini yang menjadikan demokrasi di Malaysia masih jauh perjalanannya. Pertama, undang-undang menekan semakin disalahguna, Kedua, Kebebasan Pilihanraya, Kebertanggungjawaban tidak terlaksana, Korupsi dan Kleptokrasi dan Media yang tidak bebas. Tak perlu saya mengimbau dan mendalami isu harta negara yang disalahgunakan sehingga didakwa berlaku kecurian besar-besaran. Respons amat mendukacitakan apabila suara rakyat dinafikan untuk mendapat jawapan yang telus dan bertanggungjawab. Apakah ini masyarakat yang kita mahu jika kerajaan yang di AMANAHkan tidak mengikuti panduan-panduan yang melahirkan sebuah masyarakat DEMOKRATIK yang matang. Kita tidak punya masa.

Saya tidak yakin bajet ini boleh dijayakan dalam suasana perisian (software) yang pincang malah membawa kita jauh dan melambatkan cita-cita negara dalam mencapai W2020 yang diilhamkan oleh Tun Mahathir Mohammed sejak tahun 1991 lagi.

RM KE 11

Di manakah kita dalam RM ke 11 sebagai Blue Print pembangunan yang didasari oleh Model Ekonomi Baru? Perlu diingatkan semua Rancangan Malaysia perlu membantu ke arah mencapai dasar-dasar yang digariskan selama 10 tahun setiap dasar. Dari DEB kepada Dasar Pembangunan Nasional, Dasar Wawasan Negara dan kini Model Ekonomi Baru (2011-2020). Saya akan mengkritik berdasarkan kepada Tujuan Utama segala perancangan ini dibuat oleh pemimpin awal negara yang malangnya gagal difahami oleh generasi pewaris yang memerintah.

Tun Dr Ismail menyebut:

“…but unfortunately the Malays themselves have tended to give the impression consciously or unconsciously that it is a sign that the Malays are placed superior to other races in the country. The biggest mistake that the Malay made was to coin the term Bumiputra because the term tended to convey an entirely different meaning to what was intended for the special position of the Malay” (Tun Dr Ismail Papers letters 23, Feb 1970)

Tun Ghazali Syafie pula menyebut:

“The succesfull implementation of this plan say 20 yrs will create a Malaysian society in which the races will be less identified with vocations and environment with social groups interacting amomg themselves in purposefull inter-relations…the emergence of new system values and norms providing for a new solidarity-based social behaviour and social order as a result of calculated and conscious plan” ( Tun Ghazali Syafie, August 1971).

Di mana kita dari wawasan hebat untuk negara berbilang kaum dan agama ini? Kerangka pembangunan kita masih lagi dalam

Kerangka Pemikiran perkauman dengan menimbulkan keadaan rasa tidak selamat (insecure) antara kaum di negara ini. Melayu terasa terancam apatah lagi NGO yang berhaluan kanan memainkan perasaan ini. Kaum Cina merasakan hak mereka dicerobohi manakala orang India merintih keadaan mereka tidak diperjuangkan. Cara perasaan ini disalurkan ialah melalui tingkatnya kadar perkauman sempit dan radikal agama kerana perasaan insecure pada jatidirinya, agamanya dan kaumnya.
Pembangunan kita tidak menangani isu korupsi dan ketelusan maka ketirisan berleluasa dan umpama air diisi dalam baldi dengan hasrat memenuhinya tetapi sentiasa berkurangan sebab baldi itu kebocoran. Budaya buruk ini cuba ditangani dengan alasan menampung kantung negara maka GST diperkenalkan. Suasana kondusif seperti kenaikan gaji, produktiviti dan dasar buruh yang progresif tidak diperkenalkan terlebih dahulu sudahpun dibebankan 6% kadar cukai. Tahap keberhutangan yang tinggi pula menimbulkan persoalan apakah kutipan GST kembali kepada rakyat ataukah hanya untuk membayar hutang?

PRU KE 14

PRU adalah proses demokrasi bagi meneruskan mandat rakyat untuk memrintah negara tanpa mengira mana-mana parti yang menang. Melaungkan retorik PRU adalah demokrasi, kita jangan lupa memaknai demokrasi juga ialah meneruskan pendemokrasian dengan menginstitusikan usaha pengislahan itu sendiri.

Transformasi Politik telah jauh ketinggalan dan ia bukan alasan seperti yang disebut oleh Pekan kononnya untuk menumpukan economic reform dahulu. Bukankah economic reform itu sendiri ditampung oleh suasana demokrasi yang kondusif, telus dan ada kawalan terhadap kepertanggungjawaban?

Power atau kuasa wasilahnya adalah politik, dasar ekonomi dibuat oleh mereka yang berkuasa, bagaimana kuasa hendak digunakan jika cara mendapat kuasa itu tempang dan penuh kediktatoran? ‘ ما لا يصلح آوله لا يصلح آخره What corrupts from the beginig corrupts at the end.

Saya mencadangkan parti-parti politik yang ingin berada di pesada kuasa dibuat reform melalui perundangan pembiyaan parti-parti politik. Rakyat para pengundi mahu parti politik dikawal dari mana sumber kewangannya kerana mereka adalah pengundi parti-parti ini. Rakyat diberi peranan menentukan dana awam mengawal parti-parti ini untuk menghindari parti-parti politik menjadi sasaran pihak berkepentingan atau parti politik dan kepimpinannya menjadi bahan komoditi dipasarkan untuk mendapat habuan tertentu. Kita mendengar Ketua-Ketua Bahagian parti politik berkuasa menghimpun harta dengan menggunakan kuasa politik dan atas alasan menyumbang kepada parti. Kitaran supply dan demand ini perlu dihentikan dengan memperkenalkan perundangan pembiyaan parti-parti politik. cth,

  • sesebuah parti akan mendapat pembiyaan dana awam mengikut undi yang diperolehi dengan kadar tertentu.
  • Satu had jumlah maksimum ditetapkan dan jumlah diterima parti-parti boleh dibahagikan antara Federal dan Negeri.
  • Parti boleh menerima dana tetapi hendaklah di perundangkan agar ada mekanisma ketelusan
  • Ahli Parlimen dan ADUN hendaklah mengistyharkan harta mereka secara akuan bersumpah setiap tahun bagi membuktikan ia tidak menjadikan kedudukannya sebagai komoditi untuk kepentingan para pemodal.

Reformasi ini penting agar rakyat lebih yakin kepada politik kepartian dan berasa bertanggungjawab partisipasi kerana dana awam menentukan pembiyaan parti-parti politik. Selain itu masalah korupsi dan kuasa dapat dikawal dengan lebih berkesan. Rakyat Malaysia memerlukan keyakinan ini jikalau mereka hendak digalakkan berpartisipasi dalam politikmdan kepartian.

Reformasi politik juga memerlukan penglibatan wanita dalam politik sebagai suara dalam pesada kuasa. Kajian Penang Institute tentang WOS atau Wman Inly Seat perlu diterjemahkan dalam kuota tanpa tandingan agar suara wanita diberi kedudukan yang wajar. Pergelutan wanita dalam politik kepartian mungkin menyukarkan mereka untuk berada di persada, jadi peruntukan kerusi khas wanita di DUN atau Parlimen boleh melonjakkan keterlibatan berkualiti suara wanita.

Jikalau rakyat dikemukakan dengan polisi dan advoksi yang mengunjur ke hadapan dalam suasana pendemokrasian berterusan, saya yakin rakyat akan mendapat pilihan lebih baik dalam menentukan parti manakah yang boleh membawa aspirasi mereka. Cukuplah aspirasi yang dipaksakan ke atas emreka dan kita hanya perlu ‘menggulakan’ mereka tanpa partisipasi bermakna dari akar umbi.

MAQASID SHARIAH

Alhamdulillah, falsafah Maqasid disebut oleh Pekan dalam muqaddimah berfalsafahnya namun Maqasid ada dua landasan satu Umum “مقاصد عامة” manakala satu lagi ialah Maqasid Khusus “مقاصد خاصة”. Dalam urusan bersiyasah, ada Maqasid khusus tentang persoalan urusan harta dan kewangan di mana Tujuan utamanya atau Maqasidnya ialah mencapai Keselesaan Hidup untuk rakyat teramai melalui dasar yang penuh AMANAH, BERTANGGUNGJAWAB dan KETELUSAN sebab itu Islam melarang Rasuah dan Kleptokrasi dalam firman Allah:

لا تأكلوا اموالكم بينكم بالباطل و تدلوا بها الى الحكام لتأكلوا فريقا من اموال الناس بالاثم و انتم

تعلمون

(Al Baqarah: 188)

“Janganlah kamu makan (ambil harta) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghukurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada para hakim kerana hendak memakan sebahagian dari harta manusia dengan berbuat dosa, padahal kamu mengetahui ianya kesalahan”

Begitu juga harta kekayaan hendaklah dipulangkan kepada rakyat yang terbanyak bukan berlegar pada kelompok tertentu sahaja dalam fIrman Allah dalam sebahagian al Haysr: 7.

كي لا يكون دولة بين الاغنيأ منكم”

“Supaya harta itu tidak berlegar di kalangan orang yang kaya di kalangan kamu”

Itulah bezanya falsafah Maqasid dari pengamatan kami bahawa rangsangan ekonomi dengan melegarkan bebanan rakyat dari GST ke dalam pasaran agar terangsang bagi lonjakan ekonomi rakyat sebenar dan sekaligus membanyakkan korporat untung dan kemudian diagihkan semula dalam bentuk cukai pendapatan korporat. Begitulah Maqasid ekonomi yang terangsang secara adil dan kerajaan akan menikmati pendapatan yang lebih besar melalui konsep ligaran wang ke pasaran domestik.

Kita akan berbahas lagi di peringkat Jawatankuasa untuk menilai ringgit dan sen ke manakah ia dibelanjakan dan bagaimana ia diperturunkan kerana disitulah ‘ibu segala masalah’ yang ruangnya diselinap masuk bala-bala ketirisan dan manusia yang hidupnya pakar dalam tiris meniris ini. Saya tutup dengan kata-kata Al Rumi, pujangga Sufi Agung : Tingkatkan perjuangan anda bukan tinggikan suara anda kerana bukanlah guruh itu yang memberi kehidupan kepada bunga di bumi tetapi hujanlah yang menyuburkan bunga-bunga itu’

Guruh petir bajet 2018 samasekali tidak akan menghasilkan kesuburan yang diidamkan, rakyat menanti hujan yang akan menyuburkan negara ini dengan disusuli mentari cerah dengan laungan MALAYSIA BARU untuk semua.

Sekian, Parit Buntar MENOLAK bajet 2018.

Terima kasih Tuan Speaker,

30hb Oktober 2017
5.30ptg
Dewan Parlimen Malaysia.