Peduli Tiada Tanpa Risiko

      No Comments on Peduli Tiada Tanpa Risiko

Usai peresmian majlis NUNJI di Bangi, Selangor pada 4hb Nov. Sabtu, saya dan pemandu bergegas ke Padang Rengas memenuhi undangan majlis keluarga. Majlis yang dirancang lebih awal itu adalah perhimpunan keluarga Rawa yang menetap di sana, jadi agak sukar untuk saya menolak walaupun jadual saya amat ketat. 3hb Jumaat cuti bersempena hari keputeraan Baginda Raja Perak sebelumnya saya berada di Manjoi satu hari membantu kempen Tuan Haji Asmuni dan AMANAH sana.

KE KEPALA BATAS

Semasa di Padang Rengas cuaca agak mendung dan pada pukul 5 petang, hujan lebat tanpa henti malah sepanjang perjalanan pulang saya ke utara tiada kelihatan tanda hujan hendak berhenti. Saya memandu sendiri dari Changkat Jering kerana pemandu saya Sdr Izwan atau Wan meletakkan keretanya di tol Changkat Jering. Selalunya sepanjang perjalanan bersendirian, saya banyak berfikir tentang berbagai perkara dan kadang-kadang banyak ilham yang datang namun kali ini saya diganggu dengan bunyi mesej di hp saya bertalu-talu masuk. Saya sempat secara spontan melihat dan tertera nama rakan saya di Bayan Baru Jimmi namanya dan tertera mesej amaran hujan lebat di Pulau Pinang yang akan berterusan sehingga esoknya 5hb Nov. Amaran banjir turut dimaklumkan. Saya terfikir memang munasabah dengan kadar hujan yang turun tanpa henti.

TERPERANGKAP

Saya menuju ke Kepala Batas kerana isteri saya Ustazah Zuraida Husin menempah bilik di Seri Malaysia. Dia menghubungi saya sebelumnya meminta saya terus ke Kepala Batas kerana tengahari 4hb sekolahnya mengadakan jamuan akhir tahun. Saya sepatutnya berada bersama isteri seperti dijanjikan namun panggilan program parti menyebabkan saya terpaksa membatalkan hasrat bersamanya. Sebagai isteri seorang ahli politik seperti saya, dia sudah biasa, jadi bila si isteri mahu berehat di Seri Malaysia satu malam, saya tiada bantahan, lagipun dia perlukan ruang untuk menguruskan kertas peeperiksaan bertimbun sebelum cuti akhir penggal.

Sampai di Tol Juru, saya sudah merasakan ada banjir di hadapan kerana deretan kereta panjang sebelum tol hampir 10km. Kereta saya bergerak perlahan diiringi hujan yang masih lebat. Sejam untuk melepasi tol Juru, tersangkut pulak jalan menghala ke Sungai Dua dan Kepala Batas, di sana ditambah lagi satu jam. Saya membuka Radio Mutiara fm. sepanjang terperangkap dalam jem dan DJ bertugas mengulangi beberapa kali, jalan-jalan Georgetown dan Seberang lumpuh termasuk simpang Lebuhraya di Permatang Pauh yang dinaiki air. Jalan saya ke Kepala Batas melalui lebuhraya terpaksa dibuat lencongan, sambil bergerak perlahan saya tekad melencong ke arah Bagan dan dari situ terus ambil Lebuhraya Sungai Dua tanpa melalui Permatang Pauh. Alhamdulillah jalan saya selamat hanya beberapa ketika sahaja, sampai sahaja di Sungai Puyu sebelum keluar Sungai Dua, banjir di hadapan. Saya terperangkap pula di Sungai Puyu untuk sejam lagi. Kereta sedan saya memang tidak sesuai dalam suasana ini, namun saya redah dalam air yang kelihatan semakin meningkat dari limpahan Sungai Puyu. Alhamdulillah saya keluar dengan selamat dan sampai dalam perut lapar di pekan Kepala Batas hampir jam 11 malam. Saya tersangkut dalam jem hampir 4 jam dari tol Juru ke Kepala Batas.

MALAM YANG GELISAH

Hati saya tidak tenang malam itu di bilik hotel kerana maklumat dari sosial media sudah bertalu-talu menyatakan Georgetown dan Seberang Perai Utara dan Tengah lumpuh. Keletihan, saya terlelap dan menanti siang dengan debaran untuk tindakan selanjutnya. Usai subuh 5hb hari Ahad, saya mula menelepon orang-orang saya di Pulau dan Seberang. Sdr Nasir Ismail di Pulau tidak dapat dihubungi, saya syak beliau sibuk kendalikan mangsa banjir kerana bertugas di Pejabat exco perumahan Yb Tuan Jagdep, saya hanya dapat menghubungi sdr Farouk, Timbalan ARIF Negeri. Farouk memaklum dengan detail situasi banjir di Pulau Pinang, menurutnya lebih teruk dari yang dilalui sebulan yang sudah malah seoanjang 40 tahun. Dia mengirimkan visual kepada saya situasi pagi itu di Kampong Makam, Kampong Dodoi, Taman Free School dan Kebun Lama, semuanya di daerah Georgetown.

Saya dan isteri kemudian bersiap awal untuk daftar keluar dari hotel. Kami menuju ke Kampong Melayu untuk makan pagi nasi kandar terkenal di situ sambil mengumpul maklumat untuk tindakan pergerakan saya. Saya berjaya menghubungi Ustaz Fahmi Penyelaras Kadun AMANAH di Permatang Berangan yang memaklumkan situasi kritikal banjir yang menurutnya ‘Tenggelam habis’. Di Kampong Melayu, saya menghubungi Sdr Zahar dan mengarahkan supaya Pusat Arahan Banjir dibuka di Kompleks JKKK Sungai Dua di mana kawasan perumahan Desa Murni sudah lumpuh sejak awal pagi tadi. Kami berhubung untuk membuka pusat dengan Tuan Haji Taufiq sebagai pengarah atas sifat beliau selaku Pengerusi Kebajikan Negeri. Alhamdulillah POBA atau Pusat Operasi Banjir AMANAH dibuka dengan kerahan semua JKKK menumpukan bantuan makanan dan minuman sebagai keutamaan.

OPERASI BANJIR: HARI PERTAMA

Pusat AMANAH dibuka pada hari pertama banjir 5hb di Kompleks JKKK Sungai Dua, kami namakan sebagai POBA Pusat Operasi Banjir AMANAH. Kompleks Sg Dua strategik sebab ia mudah diakses oleh orang ramai lagipun ia berdekatan dengan kawasan dilanda banjir teruk seperti Desa Murni, Merbau Kudung dan Lahar Yooi. Kami menyediakan peralatan memasak dan semua bahan disimpan dalam setor belakang. Bantuan lain mula tiba seperti makanan kering, biskut, roti dll keperluan seperti tuala wanita dan pampers bayi.

Selepas melawat di kawasan Pulau, saya tiba di pusat operasi dalam jam 3.30 petang dengan isteri. Saya agak terkejut kerana jalan masuk ke POBA di simpang 4 Sungai Dua telah dinaiki air termasuk bahagian hadapan POBA. Saya menghubungi Zahar dan sejurus kemudian sebuah pacuan roda milik Ramli, AJK AMANAH Tasek Gelugor sampai supaya saya boleh ke pusat operasi. Saya memberitahu isteri supaya membawa balik kereta saya dan berpesan jangan tunggu saya pulang sebab saya kemungkinan terpaksa bermalam untuk operasi seterusnya, dia mengangguk faham dan saya ucapkan selamat tinggal dengan satu pelukan. Suasana di simpang itu pun agak kelam kabut kerana penduduk Taman Desa Murni sudah mula keluar beramai-ramai mengharungi banjir, nampaknya desa murni sudah tidak murni lagi gara-gara paras air semakin meningkat.

KEUTAMAAN DAN TINDAKAN

Haji Taufiq dan Zahar masing-masing memberikan laporan terkini banjir dan nampaknya ia buruk berbanding sebulan dua yang lalu ketika Pulau Pinang dilanda banjir akibat angin kencang dari Vietnam. Saya bertanya tentang mangsa banjir yang pada waktu itu dianggar dalam 2,000 orang lebih mengikut maklumat banjir di KOMTAR. Kami segera membuat keputusan untuk menumpukan agihan makananan dan minuman, dapur peduli rakyat dah beroperasi dengan Abang Halim, Baharin dll dari JKKK Sungai Dua yang telah mula beraksi.

Saya terus sibuk mengirimkan mesej SOS kepada kawan-kawan termasuk rakan di Pulau Pinang yang mungkin tidak tahu keadaan kucar-kacir di sini dan perlukan tumpuan. Saya dapat melihat penduduk keluar secara beramai umpama dalam filem-filem doomsday hollywood. Mereka membawa apa yang tercapai dengan paras air sudah ke paras paha. 4Wheel mundar mandir membawa orang-orang tua dan kanak kanak sambil kedengaran suara hiruk pikuk dan bunyi air diredah 4Wheel. Zahar memaklumkan Ketua Pemuda AMANAH Kedah Asmirul dan 3 biji 4Wheel akan sampai, sebelumnya saya minta Zahar war-warkan kepada kontijen luar untuk bawa 4 Wheel lebih banyak lagi.

MENINJAU DI MEDAN

Sejurus kontijen Kedah sampai kami bergerak dengan 4buah pacuan roda membawa bahan minuman dan roti untuk diedarkan. Kami ke Pusat di Merbau Kudong dulu untuk berjumpa petugas dan penduduk sana. 2 Pegawai JKM sudah bertugas sejak awal pagi mendaftar nama mangsa banjir yang berlindung di Dewan JKKK Merbau Kudong. Seorang kanak-kanak demam panas dan tanpa ubatan saya hanya berpesan kepada ibunya agar melembapkan tuala dan pedapkan sahaja di kepala kanak-kanak malang itu.

Dalam pada itu seorang wargamas keturunan Cina dibawa oleh anaknya, kami bergegas membantu untuk bawakan ibu tua ini tanpa kerusi roda, saya terus mendukong ibu malang ini dengan sekuat hati seperti saya mendukong ibu saya sendiri. Walaupun terchungap, kami berjaya bawa ke meja pendaftaran dan memohon segera diambil perhatian. Entah kenapa sehari sebelum ini, saya mengadu kepada pemandu saya sakit di pinggang dan pinggul saya, tetapi semasa bertugas saya tidak terasa apa-apa walaupun ‘mencempung’ wanita tua, Alhamdulillah.

Kami singgah di Dewan Muhibbah, satu lagi pusat penempatan dan mendapati seorang oku di sana. Saya mendapatkan abangnya untuk bertanya khabar dan menurut abangnya setakat ini, semua terkawal dan ucapkan terimakasih atas keprihatinan kami.

4Wheel kami meredah air di jalan utama Sungai Dua di Nyior Sebatang. Kenderaan kecil dan rendah tidak lagi dizinkan melaluinya, beruntungnya kami di atas 4Wheel melalui jalan yang dipenuhi air. Di kiri jalan bendang seluas mata memandang umpama laut, di kanan jalan rumah sudah ditenggalami air, penghuni yang di rumah dua tingkat berada di tingkat atas, saya terpanggil bila melihat dari atas 4Wheel ( saya di bahagian belakang) makcik tua melambai tangan dengan anak dan cucunya. Saya arahkan berhentikan kereta untuk saya sampaikan kepada bekalan roti. Saudara Zulkifli Ishak ahli majlis MPPPP yang bersama saya mengingatkan saya, ianya agak bahaya kerana air sudah di paras dada. Saya berdegil dan dengan bantuan anak muda yang menghuni rumah itu, kami meredah air tahap dada untuk menyampaikan bantuan. Kami memasuki bahagian bawah yang penuh air dan menuju ke tingkt atas menyapa nenek tua tadi yang menunggu kami di atas tangga tingkat 2 rumah. Saya bertanya kenapa tidak turun ke pusat pemindahan, dia menjawab..’ takpa eehh..ateh ni selamat saya dengan anak cucu…terimakasihlah mai jengok kami bawak roti…’ Dia bertanya nama saya, saya memperkenalkan Dr Mujahid saja…lalu dia bertanya lagi ‘ ni dato’ Mujahid ka? anak Pak Yusof Rawa tu?’ Saya jawab ya..lalu dia jemput saya minum tea dan perkenalkan kepada anak cucunya sambil mereka bergambar dengan saya. Dalam hati saya berkata, ini bukan masa yang sesuai, tapi kerana besar hati mereka, saya relakan saja sambil memohon maaf tidak dapat bersama minum tea petang. ‘Saya kena pi tempat lain ni…takpa…nanti lepeh banjir saya mai nooo…kita minum tea dengan cucuoq’

PADANG MENORA

Memang nama di kawasan Tasek Gelogor macam nama Siam, ada Padang Pongsun, Pajak Song, Lahar Yooi dan Padang Menora. Ini nama-nama tempat yang dilanda teruk banjir kecuali Pajak Song. Kami ke Padang Menora, ada satu penempatan banjir dikendalikan oleh Haji Ramli Pengerusi JKKK di sana. Ada 120 orang yang berlindung sana dan difahamkan ramai yang terputus hubungan kerana air sungai korok telah melimpah dan seluruh Kampung Chegar dan Kampung Sungai Korok terputus hubungan. Haji Ramli merayu kalau ada bot untuk ke sana kerana jalan darat dah tenggelam, saya terus berhubung dengan Haji Asmuni yang sebelah paginya menawarkan untuk mengirim sebuah bot, saya mengulangi keperluan itu agar Hj Ramli tidak kecewa bahawa kami di POBA prihatin kepada keperluan petugas kami.

Perjalanan seterusnya ialah ke Tai Tong Tasek Gelugor dan kami melalui jambatan di Desa Puri yang telah pecah pintu airnya menyebabkan air deras membantai pondok kedai di pinggirnya. Kereta beratur panjang kerana ramai orang atas jambatan meninjau keadaan walaupun mereka tidak sedar mereka dalam bahaya kerana air meningkat laju dan arusnya deras. Saya arahkan guna lampu kecemasan pada Shukron yang membawa kami atas keperluan kecemasan, mereka memberi laluan, sampai di Pekan Simpang Tiga Tai Tong , pekan kecil itu sudah tenggelam, seorang petugas sukarelawan tempatan mengingatkan kami airnya dalam dan arus sungai di hadapan telah membantai rumah di pinggirnya termasuk surau. Kami tekad ke dalam lagi untuk meninjau keadaan, alhamdulillah kami membedah arus dan sampai di kampung tepi sungai dan bertemu dengan penduduk di situ. Mereka menyapa kami dengan mesra dan sebahagian besar mengenali kami dari AMANAH. Kalau tidak pun mereka mengenali saya sebagai Ustaz Mujahid kerana saya pernah bertanding di Tasek Gelugor pada PRU ke 11, 2004. Saya meninggalkan penduduk di situ dengan memberikan peringatan jika tanda tebing sungai runtuh mereka perlu beredar segera.

KEMBALI KE POBA

Sejak asar kami keluar dan jam sudah menunjukkan pukul 7.00 malam. Kami berhenti rehat di Pekan Tasek Gelugor untuk minum dan ‘lapit perut’ bersama Asmirul dan rakan-rakan dari Kedah dan kemudian balik ke POBA melalui jalan utama Nyior Sebatang. Tinjauan kami dari segi geografinya seolah membuat satu pusingan di mana tenganhya adalah lautan banjir umpama laut dan kami mengelilinginya. Saya faham benar jalan di Tasek Gelugor sebab telah pusing habis semasa kempen yang meliputi DUN Sungai Dua, Pematang Berangan dan Telok Ayer Tawar.

Sampai di POBA Sungai Dua, kami terkejut sebab paras air telah melimpah ke seluruh Kompleks JKKK termasuk stor dan dapur prihatin rakyat. Keadaan sudah tidak seesuai lagi untuk beroperasi. Kami bermesyuarat, ada beberapa pilihan samada pindah ke bahagian belakang yang masih belum di naiki air dan memasak sana untuk bekalan makan malam, atau berpindah ke Pejabat AMANAH Negeri dan gunakan bahagaian parking untuk pasang kemah dan memasak, atau ke Dewan JKKK Permatang Buloh Simpang Empat dan opsyen terakhir ialah ke Dewan JKKK Pajak Song yang lebih besar tetapi agak jauh.

Semua opsyen dibuat penilaian dan akhirnya kami bersetuju untuke Pajak Song kearana walaupun jauh tetapi jalan ke tempat bantuan menegak sahaja dan tiada halangan banjir, lagipun kawasan parking yang luas dan dewan yang besar boleh menampung barang dan kedatangan petugas. Surau dan bilik taklimat juga ada, dengan kriteria itu segala kemudahan di Kompleks Sungai Dua dipindahkan jam 10 malam dengan lori dan 4Wheel yang ada. Saya mengagihkan makanan di Desa Murni bersama Ketua Pemuda Pulau Pinang Sdr Saifullah yang sejak POBA dibuka telah berada bersama kami. Kontijen Perak bawah KP AMANAH, Sdr Hasnon menawar diri bertugas dengan dua 4Wheel yang dibawa.

ZON PERANG

Desa Murni umpama zon perang pada pukul 11 malam, dengan keadaan gelap tanpa bekalan elektrik dan orang ramai di kiri-kanan jalan yang paras airnya paling selamat, iaitu paras lutut, sebahagiannya paras buku lali, mereka menerima apa sahaja bekalan yang diberikan. Kami terpaksa tegas sebab ramai lagi yang di dalam rumah masih terperangkap di tingkat 2 rumah masing-masing.

Pacuan 4 Roda kami meredah dan membelah banjir dan saya yang di belakang duduk dihujung dapat mendengar bunyi air masuk ke ekzos berbuih- berbuih bunyinya. Cemas juga kalau kami tersangkut, tetapi pemandu dari ARIF Perak dah berpengalaman dengan keadaan banjir dan dapat kendali dengan baik. Rumah yang kami hulurkan bantuan makanan semua ucapkan terimakasih, alasan mereka tidak mahu tinggalkan rumah ialah kerana bimbangkan keselamatan kerana ada desas desus rumah yang ditinggalkan telah dipecah masuk. Mereka juga menyatakan anak isteri dan anak -anak kecil serta orang tua telah dikeluarkan. Sebagai calon yang pernah bertanding di situ sememangnya saya tak boleh bayangkan Taman Desa Murni menjadi pekan laut dengan kereta yang ditenggelami air di mana-mana dan ombak belahan kereta kami menghempas pintu-pintu besi rumah dan sampah berselarak di sana sini.

POBA PAJAK SONG
Saya mengisytiharkan Pajak Song sebagai Pusat Operasi baru melalui mesej wassup dan rakaman suara/ video. ‘Semua kontijen bantuan perlu ke Pajak Song kerana pusat operasi kami telah dinaiki air, HARAP MAKLUM!’

Kami sudah mula menerima maklumat kedatangan kontijen antaranya , sebuah bot oleh Hj Asmuni, Bendahari Agung dan Pengerusi Negeri Perak. Jeming KP Kelantan akan sampai dengan petugas dan 3 buah pacuan roda. Pahang dan Johor serta ARIF Nasional sdr Bahar telah sampai begitu juga Ketua Pemuda Nasional Sdr Sani Hamzan. Jam 2 pagi, hampir semua yang bertugas sudah berkumpul dan Hj Taufiq mengarahkan mesyuarat diadakan pada jam 2.30 pagi di bilik taklimat.

Dalam keadaan tidak ketahuan waktu, mata saya cergas tidak menunjukkan rasa berat mata walaupun entah berapa kali kelihatan kami semua menguap. Saya mahu menyampaikan taklimat apa yang ada di medan setelah meninjau keadaan petang tadi. Saya mulakan taklimat dengan menyebut ayat Al Quran tentang Ujian dan Musibah serta mengingatkan bahawa kita perlu membantu tanpa mengira kaum dan agama sebab ini adalah isu kemanusiaan. Hj Taufiq dan Zahar menjelaskan tempat yang kritikal memerlukan bantuan esoknya. Kami bersetuju bahawa keutamaan kami ialah menyampaikan bantuan makan dan minuman dengan sasaran 1000 paket untuk pagi, tengahari, petang dan malam. Dapur Rakyat Peduli sudahpun beroperasi dengan penduduk setempat membantu, bahan memasak mencukupi dan kami berbelanja hampir RM 2ks satu hari untuk tujuan tersebut.

Bot Haji Asmuni siap bertugas esok di Padang Menora walaupun Lubok Meriam memerlukannya. Saya membuat keputusan kerana keluasan dan penduduk yang terputus hubungan agak ramai di sana. Kami telah mengagihkan petugas untuk esok bermula 8 pagi.

EKSPEDISI PADANG MENORA: HARI KEDUA

Kami tiba di pusat pemindahan Padang Menora jam 11.00 pagi bersama bot yang ditunda. Kami disambut dengan penghuni pusat banjir dan kanak- kanak berkerumun di kelilinga bot. Saya berseloroh dengan Hj Ramli, ‘ Haaa…nilah yang Haji minta , dah dapat…Hj Asmuni bawak mai, dapat lah kita huloq bantuan kat depa’ Hj Ramli senyum puas kerana dia pun tak sangka POBA dapat membekalkan bot kecil untuk tujuan hantar makanan. Saya ingatkan dia kena terimakasih kepada Hj Asmuni yang membawa keperluan bot, bukan saya.

Kami memutuskan untuk membuat tinjaun terlebih dahulu sebelum membuat penilaian berapa yang memerlukan makanan mahupun ubatan ataupun yang mahu keluar ke tempat selamat. Bot kami berjaya dimasukkan dan semasa saya melangkah naik, saya terjatuh di tebing kerana tergelincir dan tidak sedar kedalaman. Keadaan memang bahaya kerana anda tidak dapat beza antara tebing dan kedalaman air. Saya berasa sesuatu tidak kena tetapi gagahkan diri dan seterusnya bot kami membelah lautan bendang yang mungkin airnya sedalam 10 atau 12 kaki. Tinjauan kami mendapati hampir 30 orang masih berada di Kampung Chegar dalam bangunan KEMAS tingkat 2. Pak Ya yang kami temui mohon agar kami dapat menghantar makanan untuk tengahari. Saya menjanjikan dalam sejam kami akan sampai lagi untuk bantuan makanan.

Kembali ke Pusat penempatan, kami memaklumkan keperluan Kampung Chegar, namun Hj Ramli tetap bimbang dengan beberapa rumah di Kampung Sungai Korok, tetapi beliau juga sedar arus air Sungai Korok agak deras dan bahaya kepada bot kecil kami. Setelah berunding dengan Haji Asmuni, dia agak konfiden, dia mampu mengendalikan keadaan, saya hanya ikut kerana jika pengemudinya yakin siapalah saya untuk mempertikainnya?

ARUS SUNGAI KOROK

Kami melalui Kampung Chegar dengan mudah dan saya turun memberi bantuan dengan air di paras dada. Saya baru sedar dompet saya dan hp sudah basah lalu saya memberikan kepada Zaid anak Hj Asmuni untuk disimpan dalam bekas plastik kedap udara. Sejurus itu kami memulakan perjalanan ke Kampung Sungai Korok dengan cabaran utama melintas Sungai Korok yang berarus deras. Haji Asmuni yang juga kaki pancing mengemudikan bot dengan berhati-hati dan kami berjaya melepasi sungai korok untuk ke rumah sekitarannya.

Suasana agak sunyi kecuali beberapa rumah yang masih didiami sambil kami meniupkan wisel untuk memaklumkan kedatangan kami menghulurkan makanan dan minuman. Mereka menyambut kami dengan rasa seronok, mungkin dalam suasana demikian siapa sahaja yang menghulurkan bantuan akan memberikan mereka ketenangan bahawa ada yang peduli, itulah mesej yang kami cuba sampaikan.

SAAT MENCEMASKAN

Di rumah terakhir sebelum bot kami terbalik, tuan rumahnya bersampan untuk menerima bantuan, jadi sampan bertemu bot sambil bantuan dihulurkan kami membalas sapaan. Usai demikian, kami undur untuk beredar dengan baki 20 paket makanan dan air mineral. Kami bersedia untuk bertolak dan berazam untuk mencari rumah lain dengan berbaki bekalan yang ada, namun takdir menentukan segalanya apabila dalam 200 meter dari rumah yang kami hulurkan bantuan, bot kami tiba-tiba ditenggelami air dari hadapan, Haji Asmuni berteriak: lompat-lompat! kami kebingungan dan dalam beberapa saat barulah kami perasan air telah memenuhi bot kecil kami. Dalam keadaan panik, kami terjun dengan paras air yang melebihi 7 kaki sebab rumah terakhir sebelum berlaku insiden terbalik bot terhapus di tingkat bawahnya.

Kami berpaut kepada bot yang kini sudah terbalik, perutnya di bawah yang membelah air banjir sebentar tadi, kini tempat kami berpaut, saya dihujung berpaut pada enjin, Tuan Haji Asmuni di sebelah saya dan dua anak muda tempatan yang bersama kami di sebelah bertentangan sambil saya arahkan tangan Haji Asmuni dipautkan di bot dipegang erat oleh salah seorang anak muda yang bersma kami. Kami meniupkan wisel dari jaket keselamatan yang kami pakai, airnya sejuk dan kami sedar kami berada di tengah bendang dengan arus sungai korok di hadapan kami. Lebih bahaya tanah bendang yang berselut jika kami terpijak boleh memberatkan imbangan kami dan kemungkinan kami akan ditarik ke bawah. Mangsa banjir yang kami hulurkan bantuan melihat kami dari jauh dengan cemas dan Pakcik yang menerima bantuan kami dari atas sampan tadi bersegera mendayung ke arah kami.

Kami dalam keadaan berpaut pada bot terbalik selama 10 minit, sementara itu kami dapat melihat helikopter Nuri berlegar,kami melambai ke atas. Tak tahulah samada Nuri mengangkut VIP atau sememangnya mahu menyelamatkan kami kerana saya difahamkan TPM sedang membuat lawatan ke Pusat Banjir Sekolah Kebangsaan Padang Menora. Dalam pada itu sampan Pakcik sampai menghampiri dan kami berpindah paut kepada sampannya, Haji Asmuni naik dahulu dan sememangnya dengan pakaian kami dan jaket keselamatan amat sukar untuk kami naik ke atas sampan, namun dengan bantuan rakan-rakan semua kami diselamatkan oleh Pakcik yang kemudiannya kami diberitahu nama panggilannya sebagai Paksu sahaja. Alhamdulillah, kami selamat semuanya, namun bahan makanan kami dan telefon bimbit saya termasuk dompet dalam plastik kedap udara hilang entah ke mana. Kami tidak memikirkan yang lain ketika bot kami terbalik, hanya keselamatan diri dan rakan-rakan sahaja.

SIAPA KINI YANG MEMBANTU?

Orang yang membantu kini menjadi orang yang dibantu, demikianlah cepatnya kitaran takdir berputar. MakSu( isteri PakSu)menjemput kami ke atas dari tangga belakang rumahnya, sampan kami mencecah anak tangga ke empat dan dari situ kami menaiki baki anak tangga. Mak Su sibuk melayan cucunya yang berbadan gempal sekitar umur 3 tahun yang asyik lapar. Sambil itu Mak Su beramah mesra dengan kami sehinggalah anak perempuannya tiba untuk melihat kami ‘mangsa bot terbalik’. Saya segera teringat untuk menghubungi POBA melalui isteri saya lalu mohon izin kepada anak Maksu untuk menggunakan telefon bimbitnya.

Saya menghubungi isteri untuk memberitahu keadaan, selalunya waktu persekolahan begini dia sukar dihubungi kerana mengendalikan kelas dan saya amat memahaminya, apatah lagi nombor asing yang akan tertera. Ketika deringan menanti, saya berdoa ‘ Umi..angkatlah telefon..’ Alhamdulillah, isteri saya menjawab panggilan dan saya terus memaklumkan apa yang berlaku agar dia tenang dan minta kepadanya menghubungi Wan pemandu dan pembantu saya untuk disalurkan maklumat kepada POBA.

Isteri saya kemudiannya berhubung dengan anak saya Nidhal yang hari itu mengambil cuti untuk bertugas di POBA, selain dari Wan, berita tragedi kami dimaklum langsung kepada Haji Taufiq dan Zahar maka tersebarlah maklumat tentang apa yang berlaku. Saya memohon bantuan supaya kami boleh balik sementara Haji Asmuni dan dua tiga orang penduduk tempatan yang berbot sibuk menarik bot kami yang semakin karam ke dasar. Lebih sejam kami berlindung di rumah Paksu dan Maksu sekeluarga, kami dilayan dengan mesra, ini tidak termasuk ‘ayaq teh’ dan biskut kering serrta rambutan yang dihidangkan kepada kami. Kami juga nak diberikan lauk nasi yang kami hulurkan oleh Paksu, begitulah jasa Paksu dan Maksu yang baik hati, jasa mereka tak akan kami lupakan selamanya. Terimakasih Paksu dan Maksu!

BALIK KE DARATAN

Sejam kemudian anak Paksu yang berbot mengangkut kami pulang secara bergilir kerana botnya yang agak kecil. Saya kumpulan terakhir dibawa ke Lahar Yooi bawah jambatan di Pongsun. Saya disambut oleh Shukron dan kontijen Kedah serta Mat pembantu Haji Asmuni. Mat yang juga aktif dalam media oren merakam kenyataan saya tentang apa yang berlaku dan seketika sahaja ditularkan melalui Media Oren, media resmi AMANAH.

Saya kesejukan dan kepala saya mula terasa berat, badan seram sejuk termasuk perut kosong yang kini mula meragam. Dalam perjalanan pulang ke POBA, pasukan yang membawa saya balik sempat membahagi roti kepada beberapa mangsa sepanjang perjalanan. Kami juga bawa beberapa penumpang ke destinasi dalam perjalanan kami. Sejurus sampai di POBA Ustaz Hasanudin, Naib Presiden AMANAH dan Pengerusi Kebajikan Nasional serta sahabat baik saya menyambut saya dengan pelukan erat sambil berseloroh, ‘Untung peluk enta kot-kot dapat habuan sikit bekas basah jatuh bot, macam debu-debu pasir di medan Jihad’ Saya tersenyum sambil memperakui jauh di lubuk hati satu kejujuran bahawa saya amat bersyukor malah ketika dipeluk erat sahabat saya, saya hampir menitiskan air mata.

Masuk ke dewan, para petugas bersalaman, ada yang berpeluk sambil bertanya ‘macamana boleh berlaku?’ Sebenarnya kepala saya terasa semakin berat dan badan saya dah mula seram sejuk, Zulkifli Ishak ahli majlis bertanya kepada saya seperti lazimnya, ‘ustaz perlu apa? nak makan apa? nak beli selipar ka? habaq mai ustaz!’ Saya kata ‘ Abang Zul, saya nak mandi dulu, belikan saya panadol, selipar dan makan ikut apa yang abang Zul bawa, kepala saya dok berat ini…’ Saya meninggalkan kumpulan tersebut dengan mencapai kain dan tuala menuju ke bilik air sambil mengharapkan Allah sembuhkan saya bermula dengan doa dan selawat sebelum mandi.

Terasa lega menunaikan solat usai mandi, perut pun dah bagi isyarat apatah lagi makanan dah dihidang nasi ayam dan ayaq kopi, panadol dan minyak cap kapak sedia. Saya dapat selipar baru tanda Puma warna oren, sambil makan ramai yang bertanya khabar sehinggalah saya ditepuk bahu dari belakang, rupanya Tuan Haji Mohamad Bin Sabu Presiden AMANAH datang bertanya khabar. Kami memanggilnya Abang Mat kerana itu yang dia mahu kami memanggilnya, saya bangun dan bersalaman dengan Abang Mat sambil memklumkan kepadanya apa yang berlaku. Dia duduk seketika melayan saya dan para petugas sebelum ke dapur di belakang dewan bertemu dengan ‘geng gedohoq’ yang bertugas cemerlang. Isteri saya sampai kemudian selepas sekolah bersama anak perempuan saya Amal. Kami berpelukan sambil isteri bertanya hal saya, saya jawab ringkas alhamdulillah lalu mereka terus bertugas di bilik operasi menentukan makanan petang yang akan dihantar dan kerja-kerja packing yang lain untuk edaran.

LAPORAN POLIS: HARI KE 3

Hari ketiga 7hb Nov, saya bangun awal berjemaah subuh dengan kontijen Wilayah yang sampai pukul 3 pagi. Saya hanya ada telefon bimbit biasa Nokia untuk berhubung, memang sukar hidup tanpa wassup dan sosial media yang lain, seolah terputus hubungan dengan berita luar. Saya hubungi Bob pegawai saya untuk maklumkan padanya supaya menghubungi saya di nombor telefon lama saya, Bob memaklumkan bahawa orang Parit Buntar dah heboh Yb jatuh bot. Saya hanya mendengar sedangkan saya sendiri tidak membaca berita tersebut.

Saya tidak hadir sesi parlimen hari Isnin dan Selasa, oleh sebab itu saya mengambil keputusan untuk ke parlimen untuk Rabu apatah lagi saya ada temujanji routin IJN pada 8hb Rabu. Saya membuat keputusan balik awal pagi itu untuk uruskan laporan polis atas kehilangan ic, kredit kad, atm, kad parlimen dan kad ijn saya dan hp saya. Ini penting untuk urusan memperbaharui semua dokumen itu. Saya juga minta Bob menemani saya untuk urusan tersebut sambil makan pagi bersama untuk dibekalkan makluman terkini parlimen Parit Buntar. Selesai urusan setengah hari dan saya berasa lega kerana dah dapat ic sementara, kad atm dan salinan laporan polis. saya bertolak ke KL pukul 6.00ptg bersama pemandu untuk menghadiri sidang parlimen yang masih berlangsung sehingga 30hb November ini. Saya juga ada temujanji IJN pukul 10 pagi hari Rabu, Sepanjang perjalanan ke KL saya terlelap.

DI KUALA LUMPUR: HARI KE 4

Jujur saya katakan, hati saya masih di POBA lalu saya menghubungi bilik operasi untuk makluman terkini. Alhamdulillah air semakin surut dan sekarang tumpuannya ialah operasi cuci dan bersih. Saya arahkan POBA membuat hebahan tentang keperluan fasa post banjir iaitu, mencuci dan menyampaikan bekalan selimut, tilam dan bantal serta keperluan makanan makanan kering dan segera sehingga mangsa yang pulang stabil.

Saya masih di Kuala Lumpur dan akan kembali hari ini (Khamis 9hb) kerana parlimen tiada persidangan Jumaat sehingga Ahad. Saya menjangkakan Sabtu dan Ahad ini kami akan didatangi kontijen lebih ramai dari seluruh negara. Saya akan kembali ke POBA hari Jumaat ini untuk bersama para petugas dan mangsa banjir. Ianya hari-hari yang panjang saat dan detik Pulau Pinang dilanda musibah banjir, namun keyakinan kita sebagai bangsa Malaysia yang tetap bersatu demi kemanusiaan dan bencana, kita akan sama-sama memikul beban dan ujian yang menimpa.

Syabas dan Tahniah keoada semua petugas tanpa mengira kaum bangsa dan agama mahupun kepentingan parti. Jasa anda besar biarlah nama anda tidak dijulang, Kisah dalam nukilan ini adalah mewakili semua para petugas bantuan yang peduli dan prihatin. Kepedulian dan Keprihatinan kita bukan tiada berisiko namun kita bersedia mengambilnya demi membela mangsa yang memerlukan bantuan kita, ‘PEDULI TIADA TANPA RISIKO’

CATATAN BANJIR PULAU PINANG
5-8hb Nov 2017

Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa
Pengerusi AMANAH Pulau Pinang
Naib Presiden AMANAH Nasional
Ahli Parlimen Parit Buntar